Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pemancing maut apabila bot dinaikinya terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika, barat daya Jeti Tanjung Dawai dekat Merbok, hari ini.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, kejadian itu mengakibatkan mangsa, Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, selain mangsa terdapat lima lagi individu yang menaiki bot tersebut namun kesemua yang lain selamat dengan hanya seorang mengalami kecederaan ringan.
pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu dari pemilik bot tersebut pukul 11.15 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa.
“Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu dari pemilik bot tersebut pukul 11.15 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa. Sebaik menerima panggilan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 11.35 pagi.
“Bot Perkasa 1221 Maritim Pulau Pinang dan Bot Perkasa 1226 Zon Maritim Kuala Kedah diatur gerak ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi tersebut, bot pemancing dinaiki enam individu berkenaan didapati berada dalam keadaan terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lima individu yang cedera terdiri daripada tekong bot tersebut, Che Roslan Hashim, 49, manakala empat pemancing lain adalah Mohd. Firdaus Zainal Abidin, 36; Engku Mohamad Farizam Fadilah,19; Zulkifli Ahmad, 45; dan Hafizul Ajis Samsudin, 31.
Tambahnya, kesemua pemancin tersebut termasuk mangsa yang lemas ditemui dalam keadaan memakai jaket keselamatan.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut manakala empat lagi mangsa yang tidak mengalami kecederaan dibenarkan pulang bersama waris masing-masing.
“Seorang lagi mangsa yang cedera ringan pula telah terlebih dulu dibawa bot nelayan tempatan ke Jeti berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk diberikan rawatan,” katanya.
Leave a Reply