Lim Guan Eng

Guan Eng masuk IJN, bicara kes rasuah tetap diteruskan

PERBICARAAN kes Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang tetap diteruskan hari ini walaupun tanpa kehadiran bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak Ahad.

“Tertuduh kini berada di IJN kerana membuat satu prosedur perubatan semalam dan beliau telah diberikan sijil cuti sakit bermula Ahad hingga esok, tetapi kami hari ini mempunyai tiga saksi formal, mohon perbicaraan diteruskan tanpa kehadirannya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah merekodkan kekesalan pihaknya memandangkan tiga saksi formal dari Pulau Pinang telah hadir pada Selasa.

“Apa yang menjadi kekesalan, tertuduh memilih untuk dimasukkan ke IJN pada 12 Disember sedangkan tertuduh mengetahui kesnya berjalan pada 13 Disember.

“Saya berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi, saya tidak mahu jadikan ia sebagai isu besar dan mohon tertuduh lebih bertanggungjawab,” katanya.

Kes itu dijadualkan untuk sambung bicara semalam, tetapi dilapangkan ke hari ini.

Hakim Azura Alwi membenarkan prosiding perbicaraan hari ini dan esok diteruskan tanpa kehadiran Guan Eng dengan mengguna pakai Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah.

Pada prosiding hari ini, tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan iaitu Datuk Ng Wee Kok, M. Maheswari dan S. Vijayalakchimi yang masing-masing merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan Guan Eng serta bekas Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang.

Saksi pendakwaan ke-17 hingga 19 itu pada Selasa juga mengesahkan beberapa minit dan butir-butir mesyuarat berkaitan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Selain itu, saksi-saksi itu turut mengesahkan peranan mereka sebagai setiausaha untuk mencatat segala minit mesyuarat yang dibincangkan.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura bersambung Rabu. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *