SEBUAH portal berita melaporkan dalam Mesyuarat Tertinggi (MT) UMNO kelmarin, terdapat desakan kuat dalam kalangan ahli-ahli MT mahu supaya Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15) diadakan lebih awal.
Entah benar atau tidak, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan tertekan dengan desakan tersebut. Tetapi kalaulah betul apa yang dilaporkan kenapa UMNO kelam kabut sangat? Apakah alasannya?
Adakah selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Presiden parti itu dalam kes penyelewengan dana SRC pada Rabu lalu? Atau adakah UMNO masih lagi berasa teruja dengan kemenangan di PRN Melaka baru-baru ini?
Apapun alasannya UMNO janganlah terlalu ghairah sangat mahukan PRU-15. Ia memandangkan sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk terus menyeret rakyat ke gelanggang pilihan raya hanya semata-mata kerana UMNO semakin ‘ketagih’ untuk membuktikan rakyat sudah kembali menyokong parti itu atau ‘berasa dukacita’ dengan keputusan mahkamah.
Penulis faham UMNO kecewa berikutan apa yang berlaku dalam kes Najib tetapi biarlah urusan itu diselesaikan oleh bekas Perdana Menteri tersebut melalui proses undang-undang yang ditetapkan.
Belajarlah menghormati keputusan mahkamah sama ada keputusan yang dibuat menyebelahi pemimpin parti itu atau tidak.
Kenapa berasa dukacita dengan keputusan mahkamah? Bukankah dahulu apabila pemimpin pembangkang dihukum dan mereka membuat pelbagai tuduhan kepada mahkamah, pemimpin-pemimpin UMNO juga terpekik terlolong bercakap berhubung ‘rule of law’ dan mendesak supaya pembangkang menghormati keputusan mahkamah.
Mereka juga menafikan bahawa berlaku pendakwaan terpilih. Tetapi kenapa sekarang apabila kena kepada pemimpin UMNO, mereka ‘melatah’ tidak tentu pasal?
Najib masih ada peluang untuk membuktikan bahawa ‘malu apa bossku’ tidak berubah menjadi ‘memalukan negara’ apabila kes rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan nanti.
Sepatutnya UMNO berterimakasih kerana mahkamah telah menangguhkan sabitan dan hukuman dalam kes yang mendapat perhatian dunia itu. Janganlah kerana dukacita dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan rakyat pula mahu dipaksa ke gelanggang pilihan raya.
Rakyat sudah muak dengan mainan politik tidak berkesudahan sejak PRU-14. UMNO perkukuhkan dulu struktur kepemimpinannya termasuk kedududukan Presiden parti tersebut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Adakah UMNO begitu yakin barisan kepemimpinan sedia ada parti boleh mencapai kejayaan cemerlang di PRU nanti?
Kepemimpinan UMNO patut faham apabila menyebut Najib dan Zahid sudah pasti orang teringat apa yang sedang mereka hadapi, soal bersalah atau tidak…biar mahkamah tentukan tetapi ‘parut’ sudah ada! Kalau UMNO yakin akar umbi parti masih menyokong kedua-dua mereka buatlah pemilihan, kita lihat apa keputusannya.
Jadi tidak payah dok kelam kabut mahu mendesak pilihan raya awal, ia tidak mendatangkan faedah kepada rakyat. Cukuplah UMNO buat perangai di Melaka, tak kan kat peringkat pusat pun nak buat perangai sama?
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru 101 hari menjadi Perdana Menteri sudah pasti banyak yang beliau mahu lakukan…jangan ganggu beliau dengan soal politik seperti mana UMNO lakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Sebagai Perdana Menteri dan individu cukup berpengalaman dalam politik Ismail Sabri pasti tahu bila paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya. UMNO tidak perlu memberi tekanan kepada beliau untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.
Izinkan Ismail Sabri menguruskan negara dengan tenang terutamanya membantu rakyat mengharungi fasa pemulihan negara selepas menempuh fasa pandemik Covid-19 yang memeritkan.
Jangan sampai keterujaan UMNO untuk mendesak PRU lebih awal akan menyebabkan politik negara bergolak lagi, kalau itu berlaku sanggupkah UMNO dituduh ‘memalukan negara’ ?
Sampai bila UMNO mahu menghumban negara dan menyeret rakyat ke dalam konflik politik sehingga impian mereka untuk melihat negara aman dan tenteram hanya sekadar ibarat ‘hikayat seribu satu malam’?
Kesimpulannya, PRU awal bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat, sebaliknya yang lebih baik buat dulu pemilihan UMNO kerana parti itu memerlukan barisan kepemimpinan baharu yang lebih mantap dan bukannya terus bergantung kepada ‘yang sudah ada parut’.
Jangan sampai keterujaan UMNO mahu mengadakan PRU lebih awal akan menyebabkan wujudnya persepsi bahawa ia ada kaitan dengan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh segelintir pemimpin-pemimpinnya. Penulis percaya sebagai sebuah parti yang memegang teguh ‘rule of law’, UMNO tidak mahu dianggap demikian. Betul tak?
Leave a Reply