GARA-GARA memindahkan sebanyak 21 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Januari lalu, seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Denda itu diputuskan Majistret Noor Farah Hazwani Osman ke atas Mohd. Aidil Abdul Halim, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Mohd. Aidil didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap di Lebuh Raya Utara Selatan daerah Seberang Perai Selatan di sini kira-kira pukul 10.07 malam pada 29 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36(7) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding hari ini, Mohd. Aidil turut memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan denda kerana perlu menyara keluarga termasuk ibu bapa selain menanggung bayaran insurans dan pinjaman rumah.
Tertuduh turut merayu mahkamah memulangkan lori yang disita memandangkan perlu digunakan untuk mencari rezeki.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM2,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak.
Difahamkan tertuduh menjelaskan denda tersebut hari ini.
Leave a Reply