DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka sukar mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Para penganalisis berpandangan demikian berikutan kes mahkamah membabitkan puluhan pertuduhan rasuah dan penyelewengan yang dihadapinya.
Selain itu, terdapat kemungkinan beliau akan dicabar pemimpin-pemimpin UMNO yang lebih bersih dan berwibawa seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai impian untuk menjadi Presiden UMNO.
“Bagaimanapun, susah untuk ramal mengenai Ahmad Zahid memandangkan pendakwaan kes di mahkamah masih berjalan,” katanya seperti dipetik daripada laporan MalaysiaNow.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 abgi pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik wang Yayasan Akalbudi.
Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan mulai 20 Jun lalu.
Dengan penangguhan itu, terdapat kemungkinan UMNO akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan barisan kepimpinan sedia ada dan berdepan risiko penolakan oleh rakyat yang menolak amalan kleptokrasi serta salah guna kuasa.
Pada masa yang sama, Ahmad Atory berpandangan, Ismail Sabri mempunyai kelebihan untuk memenangi jawatan Presiden UMNO memandangkan beliau ialah Perdana Menteri.
Selain itu, menurut beliau, kedudukan Mohamad sebagai Timbalan Presiden memberi kelebihan kepadanya.
“Hishamuddin pula terkenal dalam kalangan pemimpin luar negara dan Khairy mempunyai sokongan kukuh dari golongan muda,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ismail Sualman berkata, adalah lebih baik supaya UMNO supaya tidak mengamalkan tradisi lama dan membuka peluang kepada calon lain bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
“Zaman ‘cai’ sudah berakhir. Dulu ahli perlu ikut giliran, sekarang semua orang boleh bertanding.
“Justeru, bertanding jawatan dalam parti adalah hak semua, dan ini akan pastikan individu yang bakal terajui parti itu sememangnya terbukit mendapat sokongan akar umbi,” jelasnya.
Leave a Reply