Oleh RIZQI ZABIDI
SERAMAI tujuh waris pelajar Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH) di Bandar Darulaman dekat Jitra, Kedah berhimpun pagi ini bagi mendesak supaya seorang guru yang enggan divaksin, dipindahkan dari sekolah tersebut.
Menurut salah seorang waris terlibat, M. Hasbee Fathil, 44, tindakan tersebut diambil kerana mereka bimbang dengan risiko yang bakal ditanggung pelajar di sekolah berkenaan terutamanya dari sudut kesihatan.
Malah katanya, bebanan guru lain di sekolah itu juga dikatakan bertambah apabila mereka terpaksa menanggung tugasan guru yang enggan divaksin itu.
“Difahamkan guru tersebut tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka dan kini ditempatkan di surau. Keadaan itu sudah tentu menambah beban kepada guru-guru lain yang terpaksa pula menggalas tugas ditinggalkan guru tersebut.
“Kami berharap ada tindakan segera diambil untuk mengeluarkan guru tersebut dari sekolah ini. Kami amat risaukan keselamatan anak-anak di sini malah laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Selain berhimpun secara aman di depan sekolah, para waris itu turut menyerahkan memorandum berhubung perkara tersebut kepada pihak sekolah yang diterima Guru Besarnya, Burhanurdin Hasan.
Sementara itu seorang lagi waris terlibat, Mohd. Huzainy Ahmad, 44, berkata, desakan tersebut mendapati sokongan ramai lagi ibu bapa pelajar di situ namun kebanyakannya tidak dapat hadir atas urusan kerja.
“Lagi pun kita tak mahu beramai-ramai di sini kerana dibimbangi melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun guru tersebut ditempatkan di surau, namun daripada cerita anak-anak, memang ada juga dia bergerak ke sana-sini. Sebagai waris, kami amat berharap ada tindakan tegas terhadap guru tersebut dan jika dia tak mahu divaksin, sila keluar dari sekolah ini,” katanya.
Sementara itu JPN Kedah memaklumkan laporan berhubung perkara itu telah disiapkan dan akan dihantar ke Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut. – SB
Leave a Reply