fasik Abdul Hadi Awang jenama arak Timah

Provokasi golongan fasik halang Bersatu sertai MN

PROVOKASI yang dilakukan oleh golongan fasik dikatakan menjadi punca yang menyebabkan usaha membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN) tidak dapat diteruskan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, persetujuan telah dibuat untuk menghimpunkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu iaitu UMNO, PAS dan Bersatu.

Menurut beliau, penyertaan Bersatu ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan.

“Sedangkan Allah SWT melabelkan nama fasik kepada seseorang Muslim yang terlibat bersama dan berperanan dalam media untuk melakukan provokasi.

“Golongan tersebut dikenakan hukuman tidak sah memegang apa-apa jawatan yang penting dan tidak sah menjadi saksi dalam semua urusan yang penting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, umat Islam diperintahkan supaya berwaspada terhadap golongan ini, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian orang fasiq membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, agar kalian tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya), sehingga menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan yang telah kalian lakukan itu.” (Surah al-Hujurat: 6)

Abdul Hadi berkata, golongan yang membuat kacau daun itu tidaklah besar jumlahnya, tetapi suaranya kuat sehingga boleh memekakkan telinga dan mengaburkan mata sebahagian daripada umat yang mahukan perpaduan dilaksanakan dengan berjaya.

“Mereka mendapat dukungan musuh daripada dalam dan luar yang sentiasa menolak kebaikan dan menarik keburukan terhadap kita semua,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sesungguhnya menjadi suatu hikmah yang besar, apabila Allah SWT mewahyukan Surah al-Nas yang diletakkan sebagai surah terakhir dalam al-Quran yang disusun mengikut tertib surahnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada Tuhan (Allah yang memelihara dan menguasai) sekalian manusia.’ (1); ‘Tuhan yang menguasai manusia.’ (2); ‘Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.’ (3); ‘Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi.’ (4); ‘Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam hati manusia.’ (5); ‘(Iaitu pembisik) daripada (golongan) jin dan manusia.’ (6).” (Surah al-Nas: 1-6)

Justeru, kata Abdul Hadi, kenalilah siapakah perosak perpaduan umat dan janganlah sekali-kali terpengaruh dengannya.

“Seterusnya, singkirkan makhluk perosak perpaduan umat yang ada dalam masyarakat kita kerana perkara itu sangat penting,” katanya.
Presiden PAS


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *