“ALHAMDULILLAH, Malaysia mungkin buat rekod sekali lagi kerana banduan dianugerah jawatan Perdana Menteri.”
Demikian kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kenyataan sinis itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berhubung tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Dr. Mahathir turut mencetuskan persoalan sama ada Najib dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sementara menanti perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
“Di masa itu, ia (beliau) bebas seperti orang yang tidak bersalah. Kalau semasa menanti ia dibenar terus jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia juga dapat bertanding dalam PRU-15.
“Jika ia menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia boleh jadi Perdana Menteri juga.
“Undang-undang tidak berkata ia tidak boleh. Jika undang-undang tidak berkata tidak boleh, maka mengikut undang-undang tentulah ia boleh,” katanya dalam catatan di laman blog chedet.cc.
Menurut Dr. Mahathir, Najib tidak akan menjalani hukuman seperti banduan lain kerana beliau membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dan perkara itu tidak bercanggah dengan undang-undang.
“Ini hak hakim. Belum pernah ada kes sebesar jenayah yang dilakukan oleh Najib. Ia adalah satu rekod dunia mengikut Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat.
“Orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat penangguhan hukuman seperti ini. Najib mungkin terpaksa tunggu sampai setahun atau lebih sebelum kesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman sekali gus menolak rayuan Najib yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Panel tiga hakim dipengerusikan Abdul Karim bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan tersebut.
Ia selepas panel ketiga-tiga hakim berkenaan mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan tersebut.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan sebelum ini atas alasan ia adalah wajar dan bersesuaian.
Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.
Leave a Reply