Facebook Najmi Ahmad

Laman Facebook rasmi Exco Kedah, Najmi Ahmad digodam

Oleh RIZQI ZABIDI

Laman Facebook rasmi milik Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad digodam sejak tiga hari lalu disyaki oleh individu yang berpangkalan di luar negara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang itu, pihaknya sudah pun membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana bimbang tindakan penggodam yang mungkin akan menggunakan laman Facebook tersebut untuk tujuan salah.

“Kalau boleh memang kami mahukan semula laman Facebook itu kerana dibimbangi digunakan untuk tujuan tidak elok. Bimbang juga jika perbuatan dilakukannya nanti membuka ‘pintu’ fitnah.

“Laporan polis telah dibuat semalam dan saya amat berharap agar akaun tersebut tidak disalah gunakan untuk buat benda-benda mengarut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

Laman Facebook dengan jumlah pengikut lebih 15,000 orang itu kini difahamkan dikawal oleh pemilik akaun Facebook yang berasal dari Vietnam.

Tinjauan di laman Facebooknya itu mendapati setakat ini masih tiada sebarang status terbaru dimuat naik oleh penggodam.

Selain membuat laporan kepada pihak berkuasa, Najmi turut menawarkan saguhati kepada mana-mana pihak yang boleh membantu mendapatkan akaun Facebook itu semula.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes tersebut ketika ini telah pun dirujuk kepada Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *