Rosmah gagal batalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid

PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan berhubung kes rasuah melibatkan dana projek solar hibrid RM1.25 bilion ditolak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah ketika menyampaikan keputusan berkata, Mahkamah juga menolak permohonan perayu untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Seri Ram sebagai Ketua Pendakwaan kes terbabit, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Hanipah berkata keputusan itu dicapai kerana Mahkamah Tinggi Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pelepasan (reliefs) seperti yang dipohon pasukan pembelaan.

Pelepasan (yang dipohon pembelaan) adalah ‘declatory order’, iaitu peruntukan spesifik di bawah Akta Pelepasan Khusus 1950. Sehubungan itu, kedua-dua permohonan perayu ditolak,” katanya lagi.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Rosmah, yang juga isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kini menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan meminta suapan RM187.5 juta dari Jepak Holdings Sdn. Bhd.

Mengikut kertas pendakwaan, suapan itu adalah sebagai dorongan bagi membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, Rosmah turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Abang Saidi Abang Samsuddin antara 2016 dan 2017.

Di peringkat Mahkamah Tinggi, Rosmah sedang diperiksa balas oleh Gopal, dan perbicaraan akan bersambung 8 Disember ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *