Amanah PKR

Angan-angan supaya Amanah diserap PKR adalah lawak

PEMIMPIN akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan cadangan agar partinya bergabung dengan PKR sebagai angan-angan dan lawak.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Amanah Kawasan Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib menolak cadangan tersebut.

Beliau turut mengungkit tentang kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) yang dianggapnya berpunca daripada ‘kegagalan parti yang mengetuai PH.

“Angan-angan supaya Amanah diserap ke dalam PKR adalah lawak lelucon. Masakan boleh Amanah yang semakin diterima rakyat dimakan oleh PKR yang semakin lemah.

“Kepimpinan Amanah terutama (Pengerusi PH Melaka) Adly Zahari yang telah mengekalkan kemenangan di Bukit Katil sendiri telah menjadi ikon pemimpin PH dan dipsersetujui diangkat kembali menjadi ketua menteri jika PH menawan semula Melaka,” katanya dalam kenyataan.

Asro sebaliknya mencadangkan agar konsep ‘khemah besar’ digunakan dalam PH dan bukannya penggabungan parti.

Berbanding penggabungan, Asri mencadangkan kaedah “khemah besar” yang melangkaui parti komponen PH pada masa ini.

“Sikap abang besar dan besar kepala harus disingkirkan dari mana-mana parti dalam PH. Ia langsung tidak membawa keuntungan, malah merugikan PH,” jelasnua.

Merujuk kepada PKR, Asri berkata kekalahan dalam PRN Melaka adalah akibat kegagalan meraih sokongan pengundi Melayu serta pengundi muda.

“Adakah mereka (pengundi muda) inginkan dinosaur PH bertukar kerana kegagalan beberapa kali untuk mendapatkan ‘angka’ dan golongan itu sendiri sudah meluat melihat rentak lakonan ketua PH yang tak mesra golongan muda, setelah menolak wakil parti Muda untuk menjadi calon?” soalnya yang jelas merujuk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menolak cadangan penggabungan dua parti itu.

Beliau berkata, cadangan itu tidak perlu dipertimbangkan kerana ‘tidak pernah berbangkit’.

Cadangan itu dikemukakan penganalisis politik, Wong Chin Huat susulan kekalahan PH dalam PRN Melaka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *