Oleh RIZQI ZABIDI
Pendekatan menyeluruh diambil Kementerian Pendidikan kali ini bakal mendatangkan kegembiraan kepada lebih ramai guru yang memohon untuk bertukar tempat kerja apabila lebih separuh daripada 20,772 permohonan yang dibuat, telah diluluskan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, menerusi pengumuman yang akan dibuat esok, permohonan seramai 11,469 guru atau 55 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon telah diluluskan.
Katanya, peratusan itu merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini yang secara puratanya mencatatkan peratusan antara 22 hingg 31 peratus sejak 2017 hingga 2020.
“Pada tahun ini kita melakukan pendekatan baharu bagi membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti dihasratkan mereka.
“Antaranya pihak kementerian turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihak kementerian turut memberi tumpuan kepada sejumlah guru berasal dari semenanjung yang telah lama berada di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Dalam permohonan mereka ini, ada yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka kembali ke sememanjung atas faktor tertentu. Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan mahu pun negeri terdekat dengan tempat dipohon.
“Ada juga dalam kalangan guru yang mengajar subjek di luar opsyen asal mereka di universiti. Maka kita akan ambil pendekatan untuk sesuaikan mereka dengan opsyen baharu,” katanya.
Tambahnya, usaha dilakukan kementerian itu diharap mampu menggembirakan para guru terlibat selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan.
“Kesemua kelulusan permohonan ini akan kita umumkan esok,” katanya.
Leave a Reply