BEKAS menteri Kabinet, Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam ini.
Pegawai khasnya, Datuk Zamri Mohamad ketika mengesahkan berita berkenaan berkata, Sabbaruddin,80, sebelum ini dimasukkan ke PPUM sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19.
“Betul, Tan Sri baru saja meninggal dunia kira-kira jam 8 lebih tadi. Belum pasti akan dikebumikan di mana.
“Kami pun sudah memaklumkan berita itu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) yang kini berada di Sarawak,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi., lapor Berita Harian.
Beliau berkata, segala urusan jenazah termasuk pengebumiannya dijangka akan dibuat sepenuhnya oleh pihak hospital.
Ismail Sabri sebelum ini pernah menyifatkan Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya.
Pada 21 Oktober lalu, walaupun sibuk dengan tugasnya, Perdana Menteri sempat mencuri masa bertemu dan menyantuni Allahyarham.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus di Facebook berkata,, sikap Ismail Sabri yang merendah diri itu adalah detik cukup indah yang menunjukkan bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas ketuanya.
Allahyarham dianggap Perdana Menteri yang juga individu yang bertanggungjawab mengangkat Ismail Sabri ke dalam dunia politik.
Perdana Menteri dilantik sebagai Setiausaha Politik Sabbaruddin pada 1995 hingga 1999 iaitu ketika beliau menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan.
Leave a Reply