SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa menyiasat segera tragedi tanah runtuh di KM34 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley ke Cameron Highlands semalam dan mendedahkan hasil siasatannya kepada orang ramai.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, pihaknya bimbang sekiranya terdapat sebarang pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian atau pembangunan lain yang telah atau sedang dijalankan di kawasan itu.
Jelas beliau, situasi itu jika berlaku perlu dihentikan segera supaya langkah perlindungan dan pemulihan dapat dilakukan dengan segera.
Dalam masa sama tambahnya, SAM menggesa pihak berkuasa berkenaan di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya memantau semua kawasan berisiko tinggi serta mengambil langkah mencegah daripada berlakunya tanah runtuh atau kegagalan cerun lain.
“Kita semua mesti tahu kawasan tanah tinggi dan bukit adalah kawasan alam sekitar yang sensitif dan amat terdedah kepada tanah runtuh serta kegagalan cerun.
“Dengan berlakunya perubahan iklim, kita boleh melihat kekerapan dan keamatan hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya jelas menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah tragedi sebegitu masih tidak mencukupi.
Ujarnya, kejadian hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa dan sudah dijangka, tetapi bukan penyebab utama kepada berlakunya tanah runtuh dan kegagalan cerun.
“Bagi suatu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun untuk berlaku dan dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan mestilah terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu tambah Meenakshi, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengawal dengan ketat pembangunan di atas tanah bukit dan tanah tinggi dan menjalankan pemantauan lebih kerap serta menguatkuasakan dengan tegas undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Kita perlu menghentikan penukaran tanah bukit dan tanah tinggi dan mestilah mengawal dengan lebih tegas aktiviti yang sedia ada. Jika tidak, kita akan terus mengundang tragedi sebegini,” katanya.
Leave a Reply