SELEPAS gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PKR membayangkan hanya akan bertanding di 25 kerusi pada PRN Sarawak.

Baki 47 kerusi mungkin dipertandingkan oleh sekutu-sekutu PKR yang lain iaitu DAP, PAN dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini, rundingan pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan.

“Kita tidak banyak (tanding kerusi) sebab kita telah ada persefahaman dengan DAP dan Amanah, dan di beberapa kerusi mungkin dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Tetapi, tidak ada penyelesaian di situ (kerjasama dengan PSB), yang pentingnya PH.

“Jadi, saya fikir sekitar 25 kerusi begitu, tapi belum muktamad. Saya fikir lebih baik kita tumpu di kawasan-kawasan ini dan beri ruang kepada rakan-rakan parti kita lain untuk bersama dalam pertempuran,” katanya selepas lawatan ke Song di Kapit, Sarawak hari ini.

PKR baru-baru ini dikecam sekutunya, DAP ekoran prestasi buruk PH pada PRN Melaka yang menyaksikan pakatan pembangkang tersebut hanya menang lima daripada 28 kerusi yang ditandingi.

Berikutan kegagalan itu, timbul suara agar Anwar berundur dari politik dan memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui PKR dan PH.

Salah satu faktor yang dikatakan menyumbang kepada kegagalan PH adalah tindakan PKR menerima bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron sebagai calon mewakili parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Langkah itu mencetuskan kemarahan penyokong-penyokong PH kerana Idris dianggap sebagai dalang yang mencetuskan krisis politik Melaka sehingga menyebabkan DUN dibubarkan.

PKR kali ini akan menyertai PRN Sarawak dengan memikul beban kekalahan yang memalukan pada PRN Melaka.

Rakyat Sarawak dilihat begitu selesa dengan pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat bebas daripada sebarang campur tangan politik dari Semenanjung, berbeza dengan era Barisan Nasional (BN) dahulu.

Faktor itu pasti menyebabkan PH yang dianggotai parti-parti dari Semenanjung sukar mendapat tempat dalam kalangan pengundi di Sarawak.

Lebih-lebih lagi, apabila rejim PH gagal menunaikan sepenuhnya janji-janji mereka kepada Sarawak khususnya dari segi pengagihan royalti minyak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here