Pemuda UMNO Kelantan

MN: Pemuda UMNO Kelantan bimbang kaedah ‘main banyak kolam’

PEMUDA UMNO Kelantan bimbang dengan pendirian PAS untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) di sebalik piagam Muafakat Nasional (MN )yang ditandatangani kedua-dua parti.

Memetik laporan Malaysiakini, kebimbangan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.

“Kita bimbang kaedah ‘main banyak kolam’ ini akan memberi mudarat dan ketidakyakinan pengundi kepada parti.

“Main banyak kolam ini adalah kaedah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak dulu asalkan mendapat apa yang dihajati. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

‘Main banyak kolam’ adalah istilah longgar yang dibuat merujuk kepada tindakan PAS mahu meneruskan keberadaan mereka dalam PN di sebalik persefahaman dengan UMNO melalui MN yang dibuat lebih awal.

Ia menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak kerana UMNO sudah memuktamadkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang menjadi tunjang kepada PN.

Ia menjadi kian ketara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu apabila PAS enggan bersama UMNO berdepan dengan Bersatu/PN. PAS sebaliknya memilih untuk bertanding menggunakan lambang PN.

Di sebalik pendirian itu, UMNO, PAS dan Bersatu masih bersama dalam kerajaan sekarang.

Pada masanya yang sama, Noor Hariri berharap usaha yang dibuat parti itu untuk mengembalikan kekuatan MN akan disambut oleh akar umbi PAS.

Beliau berkata, akar umbi PAS tidak wajar membiarkan jalinan persaudaraan yang terjalin melalui MN pada dua tahun lalu itu disia-siakan.

Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata status MN akan ditentukan oleh semua 191 bahagian parti itu yang akan mula bermesyuarat pertengahan bulan ini.

Kata Ahmad, walaupun PAS memilih Bersatu berbanding UMNO di Melaka baru-baru ini, partinya tetap berpegang kepada keputusan yang dibuat dalam perhimpunang agung lalu iaitu mahu MN diperkuatkan

“Selagi belum ada Perhimpunan Agung UMNO, kerjasama ini tidak boleh diubah.

“Oleh itu, saya berharap 191 bahagian UMNO yang bersidang kelak dapat membuat keputusan terbaik terhadap MN untuk parti menghadapi PRU-15,” katanya.

Noor Hariri berkata, Pemuda UMNO Kelantan menyambut baik saranan Ahmad dan ia menjadi bukti parti itu mendengar suara ahli akar umbi.

Keputusan mesyuarat bahagian di seluruh negara itu nanti juga, katanya, akan menentukan sama ada MN masih relevan atau sekadar menjadi modal untuk “sesetengah parti” beretorik.

Untuk rekod PAS merupakan parti yang memerintah Kelantan sejak 1990 walaupun pelbagai cubaan dibuat UMNO untuk merampas kerajaan negeri.

Selain Kelantan, PRU-14 lalu turut membuka jalan kepada PAS menjadi kerajaan di Terengganu.

Namun di sebalik kewujudan MN, UMNO tidak dilibatkan dalam kerajaan Kelantan atau Terengganu, berbeza daripada negeri lain yang dikuasai UMNO/BN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *