SEORANG bayi berusia tiga bulan, Nur Iman Haiqal Mashelmi di Butterworth, Pulau Pinang memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung yang mencecah RM85,000.
Anak bongsu kepada pasangan Mashelmi Abd. Malek, 40, dan Hazarita Arshad, 38, itu perlu menjalani pembedahan pelengkap pada kadar segera bagi menyelamatkan nyawanya berikutan masalah injap jantung terbalik.
Menurut bapanya, Mashelmi, anak lelakinya itu telah menjalani pembedahan jantung ‘ballon atrial septostomy’ semasa menerima vaksin awal bulan ini selepas paras oksigen di dalam darahnya hanya 40 peratus.
Tambahnya, pembedahan kali kedua dilakukan pada 11 November lalu bagi memasukan stent atau tiub kecil ke dalam jantung Nur Iman Haiqal.
“Ia bagaimanapun pendekatan sementara untuk melanjutkan nyawanya, manakala pemeriksaan lebih lanjut perlu dijalankan untuk menyelesaikan masalah jantungnya.
“Ketika ini dia ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) untuk jagaan rapi dengan bantuan peralatan pernafasan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Mashelmi, dia terpaksa berhenti bekerja sebagai pemandu lori untuk memberi tumpuan kepada anaknya itu berikutan isterinya, Hazarita Arshad, 38, bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata berusia tiga bulan hingga 10 tahun.
Dalam pada itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui hau berkata, pemeriksaan doktor mendapati Nur Iman Haiqal mengalami masalah injap jantung terbalik atau ‘transposition great arteris’ (TGA).
Sehubungan itu katanya, pembedahan ketiga perlu dijalankan segera sebagai pelengkap untuk memperbetulkan aliran oksigen dalam saluran darah yang berhubung dengan jantung.
“Pihak kami telah menerima permohonan bantuan daripada ibu bapa Nur Iman Haiqal yang tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan sebanyak RM85,000,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkan terus kepada akaun Public Bank Berhad, One Hope Charity & Welfare di nombor akaun 3193433435 atau menghubungi talian di 016-4192192, 019-2322192 dan 04-5399212.
Leave a Reply