cuti tambahan

Cuti tambahan WP esok bukan kelepasan am bergaji wajib

HARI kelepasan am tambahan bagi seluruh Wilayah Persekutuan esok sempena kejayaan KL City FC merangkul gelaran juara Piala Malaysia bukan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan media, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau menggalakkan majikan di sektor swasta memberi cuti am bergaji kepada pekerja-pekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

Pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan.

Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan media hari ini mengumumkan bahawa bank pusat itu dan semua bank termasuk cawangan-cawangannya di Kuala Lumpur akan dibuka dan beroperasi seperti biasa esok.

“Sehubungan itu, urus niaga pasaran kewangan dalam pasaran pertukaran asing, pasaran wang dan pasaran bon melalui kaunter juga akan terus beroperasi pada hari tersebut,” jelas BNM.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *