Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BEROPERASI secara sembunyi memproses arak tiruan di sebuah kilang kosong merupakan taktik digunakan satu sindiket di Jalan Seri Wangi, Masai, Pasir Gudang sejak enam bulan lalu.
Bagaimanapun, taktik mereka itu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) sekali gus menahan seorang lelaki tempatan dan merampas arak tiruan berjumlah RM3.7 juta di kilang tersebut, semalam.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan dilakukan menerusi Op Kontraban pada jam 4.45 petang melibatkan sepasukan cawangan risikan Batalion 5 PGA Simpang Renggam.
“Serbuan dilakukan ketika seorang suspek warga tempatan berusia 20 tahun sedang memandu keluar dari pintu kilang tersebut yang dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan.
“Kilang tersebut dijadikan tempat memproses arak tidak bercukai. Kita merampas antaranya 62 tong biru mengandungi 200 liter cecair pati arak dan 19 kotak mengandungi arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 750 mililiter (ml).
“Ini termasuk 22 kotak mengandungi arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 375ml dan 10 kotak arak jenis Mcdowell’s dengan kandungan 180ml,” katanya dalam sidang akhbar di kilang itu, hari ini.
Katanya, turut dirampas satu kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 700 ml, dua kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 350ml dan dua kotak arak jenis Club 99 dengan kandungan 170ml.
Menurutnya, turut dirampas dua kereta jenis Nissam Almera dan Nissan Cefiro, forlift jenis Toyota, pam air, telefon bimbit jenis Oppo dan pelekat kastam disyaki palsu.
Beliau memberitahu, jumlah anggaran nilai arak RM3.747 juta, nilai cukai arak RM1.4 juta manakala jumlah rampasan lain RM117,000 dan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM5.327 juta.
Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan tersebut berselindung di sebalik kilang di kawasan industri dan menjadikannya sebagai tempat memproses arak tidak bercukai.
Minuman keras tiruan itu katanya, untuk pasaran sekitar Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Januari hingga Selasa, pihaknya telah menahan 172 lelaki dewasa melibatkan 51 tangkapan melibatkan siasatan Akta Kastam 1967, Akta Atipsom 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Eksais 1967.
“Nilai keseluruhan rampasan Batalion 5 PGA dari Januari hingga hari ini (Selasa) berjumlah RM29.896 juta,” katanya.
Leave a Reply