Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai.
Justeru, baginda bertitah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.
“Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.
“Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor mengemudi sendiri ‘Air Boat’ milik Baginda hampir sejam bermula pukul 9 pagi dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.
Baginda turut bertitah Exco berkenaan supaya segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.
“Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah Sultan Johor.
Leave a Reply