TINDAKAN licik sebuah kongsi gelap di Pulau Pinang untuk menghidupkan kembali pertubuhan itu dengan berselindung di sebalik nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berhasil selepas berjaya dihidu polis.
Akibatnya, seramai 40 lelaki dipercayai ahli kongsi gelap itu yang berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, kira-kira pukul 9.30 malam pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, mereka yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu ditahan ketika menghadiri majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu kongsi gelap terbabit di restoran mewah tersebut.
Jelasnya, operasi itu digerakkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) hasil maklumat awam.
Tambah beliau, serbuan itu dilakukan selepas polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik nama sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai “tatoo” sebuah pertubuhan haram.
“Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebanyak 56 buah telefon bimbit, dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD SPT dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
“PDRM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membenteras jenayah,” katanya.
Leave a Reply