PENGUSAHA sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang diberi tempoh dua hari oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang untuk menjelaskan mengenai harga sebungkus kailan ikan masin yang dijual berharga RM18.
Notis itu dikeluarkan selepas pegawai penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang melakukan pemeriksaan di restoran tersebut semalam selepas mendapat maklumat awam sebaik sahaja isu harga masakan tersebut tular di dalam media sosial.
PPDNHEP Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada pengusaha restoran terbabit yang perlu diberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja.
“Pegawai Penguat Kuasa telah hadir ke lapangan untuk menyiasat aduan yang telah diterima berkenaan perkara ini pada hari yang sama melalui aduan pengguna.
“Satu NPMB bagi kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga dan peniaga perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya.
Semalam, pengguna di Pulau Pinang sekali lagi dikejutkan dengan harga masakan kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18 untuk seorang makan yang disifatkan luar biasa mahal.
Harga makanan itu tular di dalam media sosial selepas seorang individu dipercayai pelanggan memuat naik resit makanan yang dibelinya yang didakwa di sebuah restoran di Kepala Batas.
“Kita sedia maklum barang mentah naik harga la (sekarang) ni. Harga (ikan) jenahak, sayur campur, ulam dan sambal, takpalah kita terima dengan reda.
“Tapi kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk sorang saja berharga RM18 memang sukar untuk diterima. Nak buat macamana. Reda,” demikian seperti dimuat naik pelanggan itu seperti dipetik menerusi laman Facebook.
Berdasarkan bil yang turut dimuat naik, pelanggan berkenaan turut membeli lauk ikan jenahak berharga RM90; sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan jumlah bil keseluruhan RM122.
Bagaimanapun, pelanggan berkenaan tidak mendedahkan nama restoran berkenaan namun catatan di Facebook hanya menyebut restoran terbabit terletak di Kepala Batas.
Sebelum ini, harga makanan di Pulau Pinang turut menjadi perdebatan di dalam media sosial selepas sebuah restoran terkemuka di negeri itu, Hameediyah menjual dua sotong goreng pada RM100.
Leave a Reply