BEKAS pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2 Disember ini.
Chong Wei yang merupakan anak jati Pulau Pinang itu akan menerima Ijazah Kehormat berkenaan daripada Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.
Menurut Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Chong Wei merupakan antara lima penerima anugerah utama pada sidang satu upacara konvokesyen tersebut.
Selain Chong Wei tambah beliau, Tuanku Syed Sirajuddin akan turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Dr. David Lacey yang merupakan tokoh yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.
“Penerima lain dalam sidang satu ini ialah Dr. Zhari Ismail yang akan menerima gelaran Profesor Emeritus manakala bekas Naib Canselor USM, Datuk Dr. Asma Ismail akan menerima gelaran Profesor Emerita.
“Selain itu, seorang pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Khaw Teng Kang akan dinobatkan sebagai Penerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Upacara Konvokesyen ke-58 USM itu akan bermula pada 2 Disember (sidang satu) di Istana Arau diikuti dengan sidang kedua hingga ke-10 bermula 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.
Menurutnya, seramai 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada upacara konvensyen kali ini termasuk Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana) seramai 1,899 orang; Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).
Ujarnya, upacara itu juga akan dilangsungkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Hanya graduan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai upacara konvokesyen kali ini manakala untuk sidang dua hingga sidang ke-10 di DTSP, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari,” katanya.
Leave a Reply