DUA kumpulan yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya ‘sentap’ dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Mereka kesal apabila Anthony menggesa agar usaha menjadikan Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Rasah itu membuat gesaan berkenaan ekoran kekalahan memalukan PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail berkata, bedah siasat sepatutnya dilakukan untuk mencari punca sebenar kekalahan PH di Melaka, bukannya menjadikan Anwar kambing hitam.
Menurut beliau, PRN Melaka menjadi arena baharu bagi PH disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan keupayaan parti itu mengadakan ceramah dan kunjungan rumah ke rumah.
“Kami menyelar keras ‘kegopohan’ Anthony Loke yang mencadangkan pengganti Anwar, sedangkan kita tertanya-tanya siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan mempunyai karisma yang boleh menyaingi ketokohan Anwar setakat ini,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Presiden Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor, yang mengkritik Anthony berkata, beliau sepatutnya membincangkan isu itu pada mesyuarat Majlis Presiden PH, bukan membuat kenyataan terbuka.
Menyatakan hampir 20 peratus pengundi di Melaka tidak mengundi, beliau berkata, jika lebih ramai pengundi hadir, PH boleh memberikan saingan lebih sengit kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Anthony juga dilaporkan oleh Malaysian Insight sebagai berkata, gabungan itu harus lebih menyentuh mengenai agenda reformasi berbanding hal Anwar menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, susulan kenaikan harga barangan baru-baru ini, kedua-dua kumpulan menggesa orang ramai menyuarakan bantahan.
“Kami akan beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk menurunkan harga. Jika tidak, semua rakyat harus bersama membuat protes,” kata Razak.
Leave a Reply