Permainan makyong di Terengganu bakal lenyap?

SEORANG raja duduk bersimpuh menghadap rebab.

Dengan iringan beberapa alat muzik lain seperti serunai, nobat, gong, gendang ibu dan gendang anak, raja tersebut lalu menyanyi…

“Royat hilang, timbul berita, timbul nak royat satu raja di sebuah negeri…”,

Begitulah petikan baris pertama lagu yang terdapat dalam permainan makyong sebelum diteruskan dengan cerita yang hendak dibawa menerusi sesuatu persembahan.

Dalam permainan makyong, intro (permulaan) cerita itu dikatakan perlu bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

Maka itu, mana-mana kumpulan yang ingin mengadakan persembahan makyong akan melakukan acara ‘buka panggung’ terlebih dahulu dengan membaca ‘mentera” atau bacaan tertentu disamping menabur beras kunyit di sekelilingnya.

Selepas
Sang Raja iaitu watak utama menghadap rebab, ianya diteruskan dengan acara atau segmen dinamakan ‘dua penyanyi sedayu makyong’, ‘menyanyi kijang emas’, ‘menziarahi bilik pengasuh’ dan “menyanyi kisah pakyong muda’.

Kemudian ia diteruskan pula dengan segmen ‘lawak jenaka’, ‘sedayung perang’ dan ‘lagu sedara’.

Demikianlah serba ringkas segmen-segmen atau bahagian yang terdapat dalam permainan makyong yang akan dipersembahkan oleh sesebuah kumpulan sepertimana pernah diceritakan oleh seorang pengkaji dan penyelidik makyong di Terengganu, Tengku Ismail Su (kini Allahyarham) kepada penulis beberapa tahun lalu.

Menurut Tengku Ismail, dalam permainan makyong, watak utama yang diangkat ialah seorang raja di samping dua orang ‘tukang lawak’ dengan karakter lucunya bagi menghilangkan rasa bosan dalam kalangan penonton.

Malah, suatu ketika dahulu, cerita dalam persembahan makyong mengambil masa agak lama untuk dihabiskan sehingga satu minggu dan ada juga sehingga tiga bulan seperti cerita ‘Dewa Muda’, ‘Raja Gondang’ dan ‘Raja Besar’.

“Sebab itulah ketika dahulu permainan makyong sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di mana mereka sanggup menonton hingga pagi dan persembahan dilakukan secara bersambung seperti segmen drama swasta yang disiarkan menerusi kaca televisyen sekarang ini,’katany

Hal ini disebabkan penonton ingin mengetahui kesudahan atau pengakhiran ceritanya”ujar Tengku Ismail.

Bagaimanapun sekarang ini penulis perhatikan permainan makyong seakan tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Ini kerana, selain banyak hiburan moden disajikan kepada anak-anak muda, faktor kerajaan negeri Terengganu tidak membenarkan persembahan kesenian yang mengandungi unsur-unsur ritual dan perbomohan meletakkan makyong bakal melalui zaman gelap.

Apakah permainan makyong akan terus hilang dan lenyap di bumi Terengganu, ditenggelami hiburan lebih moden dan juga keterbatasan aktiviti persembahan yang disekat?.

Ketika dahulu Terengganu pernah memunculkan nama-nama pemain makyong seperti Jusoh Muda, Mek Yam Abdullah, Idris Mamat, Tawang Mahmud dan Wahid Ali.

Tiga tahun lalu, hanya terdapat dua kumpulan di bawah Majlis Kebudayaan Daerah Besut masih aktif mengadakan persembahan termasuk di program Pekan Budaya, Pesta Pantai dan KT Walk.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *