PENGGUNA di Pulau Pinang sekali lagi dikejutkan dengan harga makanan yang luar biasa mahal kali ini membabitkan masakan kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18 untuk seorang makan.
Harga makanan itu tular di dalam media sosial hari ini selepas seorang individu dipercayai pelanggan memuat naik resit makanan yang dibelinya yang didakwa di sebuah restoran di Kepala Batas.
“Kita sedia maklum barang mentah naik harga la (sekarang) ni. Harga (ikan) jenahak, sayur campur, ulam dan sambal, takpalah kita terima dengan reda.
“Tapi kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk sorang saja berharga RM18 memang sukar untuk diterima. Nak buat macamana. Reda,” demikian seperti dimuat naik pelanggan itu seperti dipetik menerusi laman Facebook hari ini.
Berdasarkan bil yang turut dimuat naik, pelanggan berkenaan turut membeli lauk ikan jenahak berharga RM90; sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan jumlah bil keseluruhan RM122.
Bagaimanapun, pelanggan berkenaan tidak mendedahkan nama restoran berkenaan namun catatan di Facebook hanya menyebut restoran terbabit terletak di Kepala Batas.
Sebelum ini, harga makanan di Pulau Pinang turut menjadi perdebatan di dalam media sosial selepas sebuah restoran terkemuka di negeri itu, Hameediyah menjual dua sotong goreng pada RM100.
Kes itu kini masih dalam siasatan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang yang telah mengeluarkan notis kepada pengusaha restoran berkenaan untuk memberi maklumat berhubung harga tersebut.
Leave a Reply