maszlee malik

Maszlee Malik masuk PKR pula, apa motifnya?

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dilaporkan akan menyertai PKR setelah tidak menganggotai mana-mana parti sejak meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada November 2020.

Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Difahamkan, bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu akan menjadi ahli PKR hari ini.

Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Maszlee akan diberi peranan penting dalam PKR atau sekadar menjadi ahli biasa.

Sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau merupakan salah seorang pengasas Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak diketahui dengan jelas mengapa Maszlee tiba-tiba meninggalkan parti yang dikuasai Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz itu.

Semasa menerajui Kementerian Pendidikan, terdapat beberapa isu membelenggu pentadbiran Maszlee seperti peruntukan kepada sekolah persendirian Cina.

Beliau juga terkenal dengan julukan ‘menteri kasut hitam’ setelah secara tiba-tiba mengumumkan tentang pemakaian kasut hitam di sekolah dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen.

Keputusan tersebut menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kasut baharu bagi anak-anak.

Pengilang kasut dan penjual juga mengeluh kerana dasar pemakaian kasut hitam menyebabkan kasut putih yang berada di pasaran dan gudang tidak laku.

Walaupun Kementerian Pendidikan era rejim PH kemudian memberi kelonggaran dari segi tempoh penguatkuasaan dasar tersebut, kerosakan telah pun berlaku.

Peniaga pakaian sekolah terpaksa menjual kasut putih dalam stok mereka pada harga yang sangat rendah bagi mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung.

Melihat kepada kontroversi yang menyelubungi Maszlee, terdapat kemungkinan beliau akan menjadi liabiliti kepada PH yang kini semakin merudum setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *