Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

3,962 kakitangan awam Pulau Pinang dapat setengah bulan gaji, minimum RM1,000

SERAMAI 3,962 kakitngan awam di Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibuat pada bulan depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bayaran itu melibatkan RM5.59 juta seperti diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Adalah diharapkan bayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun-tahun akan datang,” katanya dalam sidang DUN Pulau Pinang, hari ini.

Di samping itu, Kon Yeow turut mengumumkan pembayaran sebanyak RM300 seorang kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); guru sekolah rendah dan menengah agama rakyat serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina.

Turut menerima bayaran sama seperti tahun-tahun sebelum ini tambahnya, ialah guru tahfiz, guru sekolah pondok dan guru Taman Asuhan Pendidikan Anak Islam (Tadis) iaitu sebanyak RM200 seorang.

“Pembayaran ini akan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM940,600 yang juga akan dibayar pada Disember 2021,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow sekali membentangkan belanjawan defisit Pulau Pinang 2022 membabitkan nilai RM449.80 juta dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM935.22 juta berbanding jangkaan hasil negeri (RM485.42 juta).

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang dikutip pada 2022 berkurangan 4.07 peratus atau RM20.60 juta berbanding tahun ini mengambil kira kesan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

“Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan beban yang dialami oleh rakyat berikutan pandemik ini dan berhati-hati dalam merangka strategi untuk meningkatkan hasil negeri pada tahun hadapan.

“Selain itu, penurunan hasil ini turut disumbang oleh pengurangan kadar faedah untuk simpanan tetap dan pelaburan negeri,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *