PAKATAN Harapan (PH) akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang ke-12.
Memetik laporan Bernama, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata pemilihan calon ditentukan oleh parti komponen dan akan diumumkan kemudian.
“Terpulang kepada parti komponen untuk menentukan calon masing-masing. Kita akan bertanding di semua 82 kerusi DUN,” katanya dalam sidang media di Kuching hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Dis sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.
SPR turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.
Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, Chieng Jen berkata, kepimpinan PH Sarawak memutuskan untuk tidak menggunakan logo sama untuk PRN Sarawak.
“Kita akan bertanding guna bendera masing-masing.
“Amanah akan guna bendera Amanah, DAP guna roket dan PKR (bendera) mata biru,” katanya.
PH sebelum ini memutuskan bahawa logo bersama tidak akan dikuatkuasakan secara ketat di Sarawak.
Leave a Reply