MALAYSIA menolak untuk memberikan visa kepada pemain Israel yang mahu menyertai kejohanan skuasy utama bulan depan, kata badan pengurusan sukan negara, mencetuskan kecaman ramai di negara Yahudi tersebut.
Tindakan tersebut adalah satu lagi keputusan tegas negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi menghalang atlet dari negara itu masuk ke Malaysia.
Portal MalaysiaNow melaporkan, kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan, dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.
Bagaimanapun, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berkata ia “telah dimaklumkan, pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan visa bagi pasukan skuasy Israel”.
“WSF komited dengan prinsip kejohanan dunia yang terbuka dan inklusif di mana semua negara anggota yang ingin mengambil bahagian dialu-alukan untuk berbuat demikian,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan kepada AFP.
WSF menambah ia sedang berhubung dengan badan skuasy Malaysia dan berharap “penyelesaian yang adil dan praktikal dapat dicapai”.
Persatuan Skuasy Israel berkata, ia merancang untuk membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika WSF tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.
“Sungguh memalukan, mereka campur urusan sukan dengan politik,” kata pengerusi persatuan skuasy negara itu, Aviv Bushinsky kepada AFP.
“Mereka yang menutup mata – semua negara yang mengambil bahagian dan biarkan sesuatu seperti itu berlaku – telah membenarkan perkauman dan diskriminasi berlaku dalam sukan.”
Ketika dihubungi, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) enggan mengulas perkara itu.
Leave a Reply