Tuntutan palsu suri rumah

Kemuka maklumat palsu, suri rumah dipenjara 7 hari, denda RM10,000

SEORANG suri rumah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan didenda RM10,000.00 oleh Mahkamah Majistret di Tawau, Sabah semalam, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 11 tahun lalu.

Tertuduh, Rozana Ajak, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memberi maklumat palsu dalam sijil kelahiran seorang anak dengan mengaku sebagai ibu kandung selain menjadi penganjur dalam permohonan kad pengenalan di JPN Tawau, antara jam 10 pagi hingga 4 petang, pada 15 Jun 2010.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa dibawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana dengan sengaja memberi maklumat palsu sebagai ibu semasa membuat Permohonan Kad Pengenalan 12 tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Amir Shah ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, mahkamah memandang serius kes itu kerana memberikan maklumat palsu iaitu dengan mengaku sebagai ibu atau bapa kandung dalam sebarang urusan pemilikan dokumen adalah membabitkan isu kedaulatan negara.

Katanya, adalah menjadi satu kerugian jika hak warganegara diberikan kepada individu bukan warganegara atau pendatang asing.

“Justeru, kes seperti ini harus dijadikan pengajaran dan teladan supaya masyarakat diluar sana tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat palsu dalam sebarang urusan pemilikan dokumen,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari bermula tarikh ditangkap iaitu pada 21 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah sementara tertuduh diwakili peguam Jhasarry P Kang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *