BN PRN MElaka

Sebelum minta PRU-15, UMNO buatlah pemilihan parti dulu

PEMIMPIN-PEMIMPIN UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang teruja dengan kemenangan bergaya parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu menyifatkan ia membuktikan rakyat sudah kembali menyokong mereka.

Ada juga pemimpin UMNO yang ‘menyindir’ Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermiayati Samsudin yang tewas di DUN Tanjong Bidara.

Walaupun hampir kesemua penganalisis politik menyatakan kemenangan BN di Melaka itu disebabkan peratusan keluar mengundi rendah dan pengundi luar tidak pulang, namun pemimpin BN terus bergembira dan ‘ada yang mendabik dada’.

Memang benar tidak kiralah macam manapun kemenangan itu dicapai, menang tetap menang, bak kata seorang kawan, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sudah pun mengangkat sumpah pada pukul 1 pagi 21 November lalu, selepas ‘ada sedikit adegan’– apa adegan itu sudah tidak penting’.

Apa yang menarik diperkatakan  ialah kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada AstroAwani yang menjelaskan kemenangan besar BN di Melaka adalah kejayaan gabungan itu mengambil peluang daripada situasi buruk yang melanda politik negara, khususnya di negeri Hang Tuah tersebut.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, beliau dan jenteranya berjaya mengolah keadaan yang disifatkan sebagai perfect storm menjadi kelebihan buat mereka.

‘’Salah satunya, memang dalam war room yang saya ketuai, saya kata, treshold jumlah keluar mengundi mesti tidak lebih daripada 65 peratus. Kalau lebih daripada itu, UMNO tak mungkin dapat menang kerusi yang banyak. Kalau 70 peratus (keluar mengundi),kurang kemenangan kita. Kalau 75 peratus, kita dalam masalah.’’

Apa yang ‘didedahkan’ oleh Mohamad bukanlah satu rahsia. Penulis percaya kesemua pemimpin UMNO, BN memahami dan mengakui fakta itu.

Kalau sesiapa yang mengkaji keputusan PRN Melaka, BN menang tipis di 11 DUN dan 3 DUN dimenangi dengan undi di bawah 1,500 undi dan hanya 7 DUN dianggap BN menang selesa…mereka akan faham apa maksud Mohamad.

11 DUN tersebut mencatatkan jumlah keluar mengundi antara 62 peratus hingga 74.2 peratus.

DUN tersebut ialah Tanjong Bidara (72.2 peratus – 364 undi), Rembia (65.7 peratus – 860 undi), Gadek (62.2 peratus – 559 undi), Machap Jaya (65.3 peratus – 938 undi), Durian Tunggal (69.6 peratus – 559 undi), Pantai Kundor (65.1 peratus – 827 undi), Paya Rumput (66.2 peratus – 629 undi), Klebang (66.3 peratus – 876 undi), Pengkalan Batu (66.5 peratus – 131 undi), Serkam (74.2 peratus – 79 undi) dan Duyong (68.2 peratus – 200 undi).

Tetapi adakah ‘perfect storm’ ini akan berulang lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)? Bagaimana dengan prestasi Perikatan Nasional (PN) yang dianggap oleh penganalisis politik meraih undi agak signifikan walaupun hanya mengekalkan kemenangan dua kerusi?

Walaupun hanya dua kerusi tetapi ia kerusi milik BN di Sungai Udang dan DAP di Bemban? Adakah BN merasakan PN tidak akan melakukan apa-apa bagi menghadapi PRU-15?

Ketika mengulas prestasi PN, Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof.Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata, gabungan itu memperlihatkan pencapaian positif meskipun tewas kerana memperoleh kerusi di DUN Sungai Udang dan Bemban. Mereka juga hampir berjaya di Tanjung Bidara dan Serkam.

‘’PN sebenarnya mampu memberikan saingan politik kepada BN dan PH, cuma PN baru ditubuhkan dan masa tidak mengizinkan mereka. Mereka harus bergerak pantas dan menawarkan perkara dasar serta perjuangan berbeza, lantas menarik minat rakyat memilih dalam pilihan raya,’’ katanya dalam artikel di Berita Harian.

Seperkara lagi, kalau UMNO dan BN merasakan rakyat sudah kembali menyokong parti itu maka mereka tidak perlu ‘tergopoh-gapah’ mahu mengadakan PRU-15 lebih awal.

Serah sahaja kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan bilakah Parlimen patut dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU.

Tambahan pula rakyat baru sahaja mahu ‘bernafas’ selepas ancaman pandemik Covid-19, tak kanlah BN nak guna strategi perfect storm atau berharap apa berlaku di Melaka berulang dalam PRU?

Dengan kemenangan di Melaka, rasanya ia sudah membolehkan pemilihan UMNO diadakan kerana parti itu memerlukan barisan kepemimpinan benar-benar mantap bagi menghadapi PRU-15.

Seperti mana mereka bersedia menyerahkan kepada rakyat menentukan pendirian dalam PRN Melaka dan mahukan PRU-15, maka apa salahnya kalau kepemimpinan UMNO menyerahkan kepada ahli akar umbi memilih pemimpin yang mereka inginkan menerajui parti tersebut?

Dengan Ismail Sabri kini menjadi Perdana Menteri dan Mohamad Hasan pula sudah membuktikan ‘bisanya’ sebagai Pengarah Pilihan Raya ditambah pula dengan kewibawaan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahadzir Khalid, prestasi cemerlang Khairy Jamaluddin di Kementerian Kesihatan serta Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kementerian Pertahanan, sebelum itu di Kementerian Luar sudah pasti ahli UMNO tahu siapa barisan pemimpin barisan hadapan mereka.

Begitu juga di peringkat Pemuda, ramai yang mula bercakap soal perlunya perubahan kepemimpinan kerana dalam kalangan pengundi muda, pergerakan itu dilihat masih belum dapat menambat hati mereka.

Penulis percaya ada kalangan pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi mahukan perubahan kepemimpinan tetapi mereka tidak bersuara, yang mahu atau bercita-cita menjadi calon lagi lah…takut-takut nama tercicir.

Apapun kalaulah pemimpin UMNO menganggap bahawa PRU-15 perlu diadakan lebih awal bagi menyelesaikan secara tuntas dan muktamad krisis pentadbiran yang melanda, maka tidak salah buatlah pemilihan parti dulu.

Ia bagi membolehkan UMNO menepis segala persepsi berhubung kepemimpinan parti itu bagi menghadapi PRU-15.

Jika dalam konteks mahu PRU-15 adalah bagi menyakinkan pengamal demokrasi dunia juga pelabur, maka pemilihan UMNO juga perlu diadakan bagi menyakinkan rakyat bahawa parti itu memiliki barisan kepemimpinan yang ‘tidak ada apa-apa parut’ dan bukannya dok mengharap ‘perfect storm’ sahaja…yang belum tentu wujud dalam PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *