SUATU ketika dahulu, aktiviti menjala dan ‘menangguk’ sotong pada waktu malam bulan mengambang (purnama) amat popular bagi kebanyakan nelayan yang tinggal di kawasan tepi pantai.
Ini kerana, pada waktu berkenaan pelbagai spesis sotong seperti jarum, ketupat, torak, katak, dan ngabang didapati banyak muncul berhampiran pantai.
Maka itu, selain cahaya bulan, nelayan terbabit akan memasang lampu spirit (lampu pam) dengan mengikat pada batang kayu beberapa meter di dalam laut untuk menarik perhatian sotong.
Begitulah cerita dahulu yang pernah penulis saksikan sendiri ketika zaman kanak-kanak di sekitar tahun 1970an.
Sekarang aktiviti tersebut sudah tiada, mungkin disebabkan air laut kini semakin tercemar menyebabkan sumber makanan kehidupan marin turut hilang.
Apapun, apabila disebut mencandat sotong, ia kini merupakan satu aktiviti yang semakin menarik perhatian ramai, bukan sahaja melibatkan nelayan dan penduduk tempatan, tetapi ia turut popular dalam kalangan masyarakat luar, khususnya yang tinggal di kota-kota besar.
Kalau dahulu aktiviti ini hanya tertumpu kepada golongan nelayan yang mencari rezeki di laut semata-mata, namun suasana kini telah berubah.
Malah, bagi sesetengah individu termasuk wanita, mencandat sotong juga telah dianggap sebagai hobi menyeronokkan walaupun ada di antara mereka mengalami mabuk laut akibat dilambung gelombang.
Perkembangan ini menyebabkan setiap kali tiba musim sotong bertelur terutama ketika bulan terang antara Mac hingga Ogos, pesisir laut Terengganu pada sebelah malam akan bertukar wajah dilimpahi dengan gemerlapan cahaya lampu bot-bot yang membawa peserta mencandat sotong.
Berdasarkan sambutan menggalakkan itulah, kerajaan Terengganu dengan kerjasama beberapa agensi pelancongan sejak beberapa tahun lalu telah menganjurkan pertandingan Fiesta mencandat sotong.
Susulan itu, setiap kali tiba musim ini kebanyakan bot nelayan dan bot pelancong sentiasa penuh ditempah oleh orang ramai khususnya pelancong luar.
Seorang kawan penulis, Omar Ismail yang juga merupakan juragan bot memberitahu, sejak rentas negeri dibenarkan, dia secara berterusan berada di laut membawa pelancong untuk mencandat sotong.
Bagaimanapun katanya, waktu sekarang bukan lagi sesuai untuk aktiviti di laut dan ia terpaksa dihentikan buat sementara kerana telah masuk musim tengkujuh dengan keadaan cuaca pula semakin tidak menentu.
“Ketika rentas daerah mula dibenarkan baru-baru ini, dalam tempoh tiga hari sebanyak 200 kilogram sotong dapat dicandat,” ceritanya.
Penulis perhatikan apabila tiba bulan candat sotong, setiap hujung minggu semakin ramai orang luar bercuti ke Terengganu hanya semata-mata untuk menyertai aktiviti tersebut khususnya di lokasi dinamakan sebagai ‘kandang ular’ berhampiran perairan pulau Kapas di Marang.
Turut menjadi tumpuan ialah di perairan pulau Redang (Setiu), pulau Perhentian (Besut),pulau Tenggol (Dungun) dan juga perairan Kuala Kemaman.
Melihat kepada sambutan luar biasa terhadap aktiviti berkenaan, sejak beberapa tahun lalu Bulan Candat Sotong telah dimasukkan dalam kalendar aktiviti pelancongan kerajaan negeri.
Apa yang menarik, mencandat sotong kini telah menjadi antara produk pelancongan popular Terengganu.
Leave a Reply