SERAMAI 129 pendatang tanpa izin ditahan di sebuah kilang mengeluarkan peralatan besi kerana disyaki tidak memiliki sebarang dokumen sah dan menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan oleh Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 malam itu terdiri daripada 110 lelaki dan 19 wanita warga Indonesia, Myanmar, India serta Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun.
“Seramai 134 orang telah diperiksa dan 129 daripadanya ditahan kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan ada juga yang menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan.
“Bagi mereka yang tiada dokumen, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan yang didapati menyalahgunakan dokumen pula disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam sidang media operasi penguatkuasaan di Balakong, malam Isnin.
Beliau juga berkata, program Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin, Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember ini tidak akan dilanjutkan.
“Bagi majikan yang mendaftarkan pekerja mereka di dalam portal, walaupun PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) belum dikeluarkan (dan) sedang diproses, tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan.
“Saya minta semua majikan mengambil peluang program ini kerana ia akan berakhir pada hujung Disember ini,” katanya.
Khairul Dzaimee juga berkata, Jabatan Imigresen telah membuat persiapan rapi bagi memastikan program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), yang dijadualkan bermula 29 November ini, berjalan lancar.
Beliau berkata, ini termasuk persiapan dari segi tenaga kerja seperti sistem Imigresen yang diaktifkan semula selepas ‘berehat’ kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pada 18 Nov lepas berkata VTL melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura dibuka serentak dengan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Bernama
Leave a Reply