PROJEK Rintis Bayaran Bantuan Tanpa Tunai yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bermula Februari hingga Julai tahun ini di lokasi-lokasi terlibat, telah menjana transaksi berjumlah RM334,059.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata projek rintis fasa satu bayaran tanpa tunai dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) itu, melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di beberapa daerah di Perlis, Kedah dan Melaka, dengan penyertaan 246 premis.
“Satu kajian kebolehlaksanaan projek rintis itu juga telah dilaksanakan pada 14 Jun sehingga 10 Julai 2021, di seluruh lokasi rintis terbabit melibatkan seramai 1,066 peserta dan daripada kajian tersebut sejumlah 845 atau 79.3 peratus peserta memberi sokongan penuh pelaksanaan program ini,” katanya di Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Tanpa Tunai di Taman Sinar Harapan, di Terengganu, hari ini.
Sehubungan itu, katanya program bayaran bantuan tanpa tunai fasa satu tersebut kini diperluaskan di seluruh Perlis, Kedah, Melaka, dan penambahan tiga lagi negeri iaitu Terengganu, Kelantan serta Selangor, dengan melibatkan 178 premis.
Katanya fasa dua pelaksanaan program tersebut akan bermula awal tahun depan melibatkan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala fasa tiga pula akan bermula pada 2023 di negeri-negeri lain.
Rina berkata kementerian optimis bahawa peluasan program bayaran tanpa tunai itu merupakan program berimpak tinggi untuk menambah baik penyampaian kepada penerima banguan JKM.
Ia sejajar dengan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia 2021 dan memacu transformasi perkhidmatan digital sektor awam yang menyokong ke arah kewujudan masyarakat digital.– Bernama
Leave a Reply