Pelakon, penari diserang histeria ketika pementasan teater tradisi

LATIHAN vokal, dialog dan kesesuaian pergerakan pentas sudah pun selesai diadakan.

Beberapa orang pelakon, penari, pemuzik dan pekerja teater sedang berehat di hadapan pentas sambil mendengar tàklimat ringkas oleh pengurus produksi pementasan iaitu Abdul Mubin Ismail.

Ketika sedang asyik mendenggar taklimat tersebut, tiba-tiba seorang penari wanita bingkas bangun lalu terjerit-jerit dengan menyebut beberapa perkataan yang amat sukar difahami.

Beberapa minit kemudian penari tersebut terduduk rebah lalu menggelupur sebelum rakan-rakannya yang lain pula turut terjerit ‘hilang ingatan’ akibat diserang histeria.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal menyebabkan suasana dalam auditorium Taman Budaya, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada petang itu bertukar menjadi hingga binggar.

Melihat keadaan berkenaan, koreographer teater, Wan Mohd Zaidi Mohd Nor terpaksa menghubungi ibunya bagi membantu menenang dan memulihkan keadaan.

Begitulah pengalaman yang sukar dilupakan penulis ketika diberi peluang mengarah pementasan teater berjudul ‘Episod Sultan Zainal Abidin III karya Allahyarham Ali Jusoh pada 24 hingga 26 Disember 2005.

Pementasan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) itu merupakan sebuah episod diangkat berdasarkan sejarah tokoh kesultanan silam yang turut menampilkan watak-watak seperti Tengku Musa, Tokku Paloh, Awang Belaking, Tengku Dalam Kalthom, Mat Kilau, Wanita Bersyair dan pegawai Inggeris.

Selain pelakon tempatan seperti Saifuldhari Abu Bakar, Mohd Fauzi Yahaya, Zulkifli Jusoh dan Zetti Akhtar Yusof, teater ini turut dibintangi penyanyi Tengku Anis Soraya dan penyanyi lagu-lagu rakyat Pahang, Roslan Madun.

Apa yang merisaukan penulis ketika itu, kejadian histeria yang ‘menyerang’ penari dan pelakon berlaku sehari sebelum pementasan sebenar bermula.

Lebih merisaukan, apabila pelakon utama Roslan Madun yang memegang watak Tengku Musa terpaksa dihantar ke Hospistal Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana dikatakan diserang ‘penyakit jantung’.

Hal ini memaksa penulis mengubah penampilan watak berkenaan dengan hanya menggunakan suara.

Bagaimanapun, selepas pementasan berakhir, Roslan Madun disahkan oleh doktor sebagai bebas daripada serangan jantung.

Sebenarnya kejadian pelakon dan petugas produksi teater di Terengganu diserang histeria suatu ketika dahulu cukup sinonim dikaitkan dengan pementasan teater Terengganu, khususnya yang berunsur tradisi dan sejarah.

Menurut seorang aktivis teater terkenal Terengganu, Wan Ahmad Ismail, sepanjang bergiat dalam bidang tersebut sejak berpuluh tahun lalu, dia tidak pernah diserang histeria.

“Yang banyak kena histeria adalah pelakon wanita, tak tahu sebab apa.

“Mereka terjerit-jerit dan tidak sedarkan diri sehingga terpaksa memanggil bomoh untuk memulihkan keadaan,” ceritanya kepada penulis.

Menurut Wan Ahmad, biasanya kejadian itu berlaku sebelum, ketika dan selepas pementasan sesebuah teatar diadakan.

“Pernah di suatu ketika, sedang kami mengadakan persiapan akhir mementaskan teater Awal, Tengah Akhir, tiba-tiba seorang pelakon menjerit-jerit lalu rebah, sebelum dijangkiti pelakon lain pula.

“Selepas seorang….seorang, Tak tahu kenapa kejadian itu berlaku, adakah tempat pementasan itu terlalu keras atau keadaan seseorang pelakon itu yang lemah, anehnya kejadian diserang histeria ini banyak berlaku ke atas pementasan berunsur tradisi dan juga sejarah,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *