Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kluang, hari ini kerana menggunakan wang palsu untuk berbelanja, dua minggu lalu.
Hakim Mujib Saroji menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Lai Kok, 53, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan wang kertas RM100 untuk membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah di Kluang pada 3.30 petang, 7 November lalu.
Pemilik kedai yang menyedari wang RM100 diberi adalah wang palsu kemudian bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh turut memiliki satu lagi RM100.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak di Jalan Lambak, Kluang pada 1.24 petang hari yang sama.
Untuk kedua-dua pertuduhan terbabit, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Farah Nabihah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, Lim berkata, dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana terdesak akibat ketiadaan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain keadaan kesihatan yang tidak baik.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara di atas setiap pertuduhan dan hukuman berjalan dari tarikh dia ditangkap.
Leave a Reply