gajah

Ancaman gajah semakin serius, jejas pendapatan 200 peneroka Felda

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu, sejak empangan Seluyut di Kota Tinggi dibuka serta dijadikan empangan dan takungan air mengakibatkan habitat gajah di kawasan itu kehilangan tempat tingal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari memberitahu, sejak berpuluh tahun kawasan di empangan Seluyut itu menjadi habitat gajah dan kini mamalia tersebut keluar mencari makan di kawasan berdekatan.

“Disebabkan itu, kawasan ladang kelapa sawit di sekeliling empangan Seluyut iaitu di Bukit Waha, Simpang Waha, Gugusan Lok Heng, Air Tawar 2 dan 3 serta Pasak menjadi sasaran gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi perbahasan Persidangan Keempat DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Katanya, keadaan tersebut mengakibatkan seramai 200 peneroka Felda di sekitar Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan ancaman gajah liar sejak lebih 10 tahun lalu.

Jelas beliau, ini kerana mamalia tersebut telah masuk dan memusnahkan tanaman kelapa sawit mereka.

Menurutnya, isu ancaman gajah liar merupakan sesuatu yang serius memandangkan keluasan ladang kelapa sawit yang dirosakkan sudah mencecah ratusan hektar selain telah meragut empat nyawa.

Pada masa sama katanya, kenaikan harga sawit yang kini berada pada paras tinggi mencecah RM1,500 setiap tan tidak dapat dinikmati golongan peneroka akibat kelapa sawit di kawasan ladang mereka telah dirosakkan gajah liar.

“Saya membawa keluhan dan rintihan hati penduduk dan peneroka Kota Tinggi yang sudah tidak dapat bertahan dengan ancaman gajah yang memusnahkan sumber pendapatan mereka.

“Jika peneroka lain mampu dapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan berikutan harga sawit yang tinggi, namun kira-kira 200 peneroka di beberapa kawasan di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan tanaman mereka musnah akibat gajah malah kini terpaksa berhutang,” katanya.

Justeru beliau berharap isu ancaman gajah liar yang dibangkitkan mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan mengambil langkah sewajarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *