
PAS Kawasan Masjid Tanah menafikan dakwaan seorang individu bernama Mokhtar Razak kononnya jentera parti itu diarahkan supaya tidak membantu kempen Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PAS.
Berikut adalah kenyataan penuh Yang Dipertuanya, Imran Abdul Rahman yang dibaca dalam sidang media bagi menjawab dakwaan Mokhtar hari ini:
PAS Kawasan Masjid Tanah ingin membuat penjelasan tentang sebuah video yang tular baru-baru ini berkaitan satu sidang media oleh seorang yang bernama Mokhtar Razak.
Individu ini dalam sidang media tersebut membangkitkan dua perkara iaitu tentang arahan PAS agar membantu jentera di Kuala Linggi dan Taboh Naning dan percanggahan arahan kepada ahli PAS untuk mengundi parti mana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-5.
Berkaitan isu pertama, individu ini mengeluarkan kenyataan bahawa kononnya pimpinan PAS tempatan mengeluarkan arahan agar semua jentera PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk beralih membantu DUN Kuala Linggi dan Taboh Naning.
PAS Kawasan Masjid Tanah menafikan ada mengeluarkan arahan seperti ini. Arahan sebenar adalah agar SEBAHAGIAN petugas PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk membantu sementara di dua DUN tersebut bagi membuat kerja-kerja awal sementara menunggu ketibaan petugas-petugas PAS dari negeri-negeri lain.
Ia BUKAN arahan agar semua jentera PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk terus membantu jentera PAS di DUN Taboh Naning dan Kuala Linggi dan meninggalkan terus jentera PERIKATAN NASIONAL di DUN tersebut.
Yang kedua, individu ini mendakwa kononnya tiada arahan yang jelas daripada pimpinan sama ada untuk mengundi BN atau PERIKATAN NASIONAL di kawasan-kawasan DUN yang PAS tidak bertanding.
Hakikatnya pada 6 November ketika berlangsungnya Muktamar PAS Pusat, Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan arahan dengan jelas bahawa semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi calon PERIKATAN NASIONAL sekiranya berlaku pertembungan dengan BN.
Tidak ada sebarang kekeliruan dalam hal ini. Ia telah difahami oleh semua ahli PAS.
Walau pun mendakwa kononnya terdapat percanggahan arahan daripada pihak atasan PAS tentang perkara ini, namun, individu ini sendiri di dalam sidang media yang sama sendiri menyatakan bahawa memang ada arahan daripada Presiden PAS agar semua ahli PAS ‘solid’ mengundi calon PERIKATAN NASIONAL.
Ini jelas menunjukkan individu ini berniat jahat dan sengaja menimbulkan kekeliruan dan ingin memecahbelahkan dan merosakkan keutuhan jentera PERIKATAN NASIONAL DUN Lendu.
Kami juga percaya bahawa memang ada dalang di sebalik individu ini yang dilihat cuba membuat sabotaj kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL.
PAS Kawasan Masjid Tanah juga menegaskan bahawa semua ahli dan penyokong PAS wajib patuh pada arahan parti untuk HANYA mengundi calon PERIKATAN NASIONAL dalam PRN Melaka ini.
PAS Kawasan Masjid Tanah juga akan menghantar cadangan kepada pihak PAS Pusat agar individu ini dipecat dan digugurkan keahliannya sebagai ahli PAS.
Leave a Reply