Dulu digelar ‘pekan koboi’, kini Marang terus dikunjungi pelancong

KEINDAHAN alam semulajadi dengan landskap pantai, laut dan pulau yang menarik merupakan antara tarikan utama pengunjung ke Marang.

Selain itu, ia turut diserlahkan pula dengan pelbagai produk, aktiviti serta gaya hidup masyarakat setempat yang mempersonakan.

Malah, sejak Marang yang suatu ketika dahulu pernah digelar sebagai ‘pekan koboi,’ sehingga sekarang ia masih lagi menjadi tumpuan pelancong.

Seingat penulis, pada tahun 1970an hanya terdapat tiga deretan bangunan kayu hampir roboh di pekan ini disamping pasar tradisional dan juga sebuah perhentian bas yang terletak di tepi sungai Marang (lokasi berhampiran jeti pelancongan sekarang).

Dua laluan bas yang menghubungkan ke perhentian ini ialah Marang -Kuala Terengganu (bas kuning) dan Marang -Wakaf Tapai (bas biru).

Manakala pasar tradisional pula banyak menjual hasil produk penduduk tempatan termasuk produk pertanian seperti sayuran dan buah-buahan serta kraftangan seperti anyaman tikar mengkuang, topi, raga, bakul,lekar,dan tudung saji.

Turut dijual ialah makanan tempatan dan kuih muih seperti manisan kerek, dodol, akok, keropok, sotong dan ikan kering.

Kesemua produk berkenaan sebenarnya turut menggambarkan gaya hidup masyarakat ketika itu.

Sebahagian penduduk yang tinggal di beberapa kampung di kawasan hulu membawa hasil untuk dijual ke pekan dengan mengunakan jalan air iaitu menaiki perahu jalur dan ada juga yang menaiki bas.

Biasanya mereka akan ‘mendayung’ ke pekan dua kali setiap minggu, iaitu pada petang hari Selasa dan pulang hari Rabu serta petang hari Jumaat dan pulang hari Sabtu.

Ada juga yang bermlam di gerai-gerai jualan di pasar tersebut dengan memasang pelita.

Apa yang menarik, bersebelahan pasar itu pula terdapat perkampungan nelayan di pantai yang kini dinamakan Pulau Kekabu.

Aktiviti kehidupan penduduk di sini ketika itu ialah melibatkan menyiang dan menjemur ikan, mencari teritip serta membuat bubu.

Begitulah betapa meriahnya gambaran aktiviti dan gaya hidup masyarakat dahulu sehingga menjadi tarikan para pelancong asing termasuk golongan pelukis dari dalam dan luar negara.

Selain dalam bentuk lukisan, suasana indah gaya hidup masyarakat dan perkampungan nelayan di sekitar ‘pekan koboi’ ini turut diabadikan dalam bentuk ‘poskad’.

Penulis pernah adaptasikan suasana ini ke dalam skrip filem Debu Debu Kasih terbitan Berjaya Film sekitar pertengahan tahun 1990an dahulu.

Lokasi pengambaran filem dibintangi Sham Visa, Aida Aris, Raja Azura dan Rosli Rahman Adam itu banyak dilakukan di perkampungan ini.

Kini Marang sudah banyak berubah, dari sebuah ‘pekan koboi’ kini bertukar menjadi sebuah bandar tarikan pelancong.

Selain pasar moden, Marang juga turut mempunyai pusat perniagaan komersil termasuk bank dan pasaraya serta jeti pelancongan bagi urusan ke Pulau Kapas.

Selain Pulau Kekabu dan Pulau Kapas, lain-lain produk pelancongan popular di Marang ialah Candat Sotong, Kampung Jenang, Batangan, Dataran Batu Putih, Lubuk Mandi, Rusila, Bukit Temiang, Bukit Kemas dan Pengkalan Berangan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *