CAP gesa KPKT ambil langkah segera elak insiden kanak-kanak terjatuh balkoni

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkenaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah segera membendung insiden kemalangan membabitkan kanak-kanak yang terjatuh dari beranda pangsapuri.

Perkara itu susulan video seorang kanak-kanak yang dilihat bermain dan memanjat beranda sebuah unit rumah pangsapuri yang tular dalam laman sosial sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, KPKT pada 2018 pernah memaklumkan akan mengkaji pelaksanaan langkah keselamatan baharu di bangunan bertingkat selepas beberapa tragedi maut membabitkan kanak-kanak terjatuh dari tingkat atas bangunan. 

Menurut beliau, menterinya ketika itu memaklumkan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984) telah menetapkan pagar beranda (bangunan bertingkat) tidak boleh kurang dari satu meter tinggi. 

Selain itu jelasnya, KPKT ketika itu juga tidak mahu rumah dirasakan seperti penjara dengan membuat pagar terlalu tinggi dab akan menilai semula struktur untuk melihat sama ada spesifikasi itu perlu diubah. 

“Namun sehingga kini, apakah langkah yang telah diambil KPKT dalam menangani kemalangan seperti ini? 

“Kita percaya untuk mengelakkan sebarang tragedi yang melibatkan kanak-kanak dan beranda daripada berlaku, langkah keselamatan mestilah disepadukan ke dalam struktur bangunan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Tambah beliau, kerajaan perlu menerima realiti akan sentiasa ada keluarga yang mempunyai anak kecil yang tinggal di bangunan bertingkat seperti rumah pangsa kerana kekangan kewangan. 

Katanya, kerajaan juga perlu memahami bahawa ibu bapa tidak boleh memerhati anak-anak mereka sepanjang masa dan kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu tentang sesuatu perkara tidak akan sentiasa mendengar dan mematuhi ibu bapa mereka tentang perkara-perkara yang mereka telah diberitahu untuk tidak lakukan. 

Tambah beliau, ibu bapa hanya perlu pergi ke bilik lain, walaupun tidak keluar rumah dan anak mereka boleh terlibat dengan perkara yang dilarang secara jelas.

“Contohnya, kita tidak mengetahui keseluruhan situasi dengan kanak-kanak dalam video yang tulat itu, tetapi caranya yang tergesa-gesa untuk melepasi pagar dan kembali ke beranda menunjukkan dia mungkin telah diberitahu untuk tidak memanjat pagar dan mengetahui sedang melakukan sesuatu yang dia tidak sepatutnya lakukan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *