PILIHAN Raya Negeri Melaka pada 20 November ini adalah peluang untuk rakyat di negeri itu melakukan perubahan bagi mewujudkan sebuah kepemimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya rakyat negeri Melaka berasa amat terkilan dengan laporan-laporan media mengenai pelbagai dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri itu oleh pihak-pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.
‘’Rakyat di negeri Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan. Tiada gunanya kita menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri kepada mereka yang kita sendiri tahu akan meneruskan tabiat kepimpinan yang rakus kuasa dan tamak haloba untuk kelompok kelompok tertentu dan diri sendiri.
‘’Kekayaan negeri Melaka mesti diurus dengan jujur, amanah dan berintegriti agar hasil kemakmurannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,’’ katanya ketika melanarkan Ikrar Perikatan Nasional sempena PRN Melaka di Shah Alam hari ini.
Munyiddin berkata, kepimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat inilah yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional kepada seluruh rakyat di Melaka.
‘’Inilah ikrar dan komitmen Perikatan Nasional. Perikatan Nasional berikrar akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri Melaka. pentadbiran akan bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat senantiasa menjadi nadi dan keutamaan pentadbiran negeri,’’ katanya.
Beliau berkata, Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri Melaka bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi.
‘’Justeru, Perikatan Nasional telah menyediakan Ikrar berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan. Ikrar yang ditawarkan ini bukan omongan kosong, mahupun janji bulan dan bintang.
‘’Ikrar ini adalah satu komitmen bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti adalah berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka Bangkit Gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.
‘’Tumpuan Kerajaan baharu Perikatan Nasional yang akan dibentuk kelak akan berpaksikan kepada Keutuhan Ekonomi, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kerancakan Sektor Pelancongan, Kelestarian Alam Sekitar, Kecekapan Infrastruktur serta Keteguhan Dan Kejujuran Pentadbiran,’’ katanya.
Tegas Muhyiddin, bagi memastikan tawaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan dan dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman.
‘’Ini adalah manifestasi kesungguhan Perikatan Nasional untuk memastikan ikrar yang dibuat untuk rakyat di negeri Melaka ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, sejarah menceritakan tentang kegemilangan Melaka lama dahulu dan beliau yakin semangat dan kekuatan ini sebenarnya masih ada dalam diri warga negeri Melaka.
‘’ Sayangnya semangat dan kekuatan ini tidak diterjemah dan dimanafaatkan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan negeri sebelum ini. Saya percaya perang politik yang berterusan dalam kalangan mereka sendiri menyebabkan hasrat untuk memaju dan mengembalikan kegemilangan Melaka terbantut.
‘’Cukuplah pengalaman pahit yang saudara dan saudari serta kita semua lalui sebelum ini. Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh rakyat Melaka bersatu hati dan memberi mandat kepada Perikatan Nasional untuk bersama-sama melakarkan satu sejarah baharu – Melaka Kembali Bangkit Gemilang.,’’ katanya.
Leave a Reply