Dambaan cinta bekas pelarian perang Vietnam di Pulau Bidong

SEPASANG remaja Vietnam berlari-lari di pergigian pantai di sebuah pulau yang sebelum itu tidak penghuni, tiba-tiba bertukar menjadi pulau paling padat di dunia.

Kedua-duanya kelihatan begitu romantik, sambil berpegangan tangan lalu duduk di atas bebatu di suatu sudut di tepian laut di pulau tersebut.

Begitulah antara dambaan cinta pernah terkisah dalam kalangan remaja Vietnam yang pernah menjadi pelarian perang di Pulau Bidong, Kuala Nerus tidak lama dahulu.

Walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, namun pulau nostalgia itu akhirnya telah mempertemukan cinta pasangan remaja berkenaan, Nguyen Thand Diep dan juga Minh Qouc Tranh.

Kedua-duanya pernah tinggal di Pulau Bidong selama sembilan bulan sebelum terpilih untuk ke negara ketiga, iaitu Amerika Syarikat.

Peristiwa ini sebenarnya berlaku 36 tahun lalu dan ia pernah diceritakan oleh seorang kawan penulis yang bekerja sebagai pekerja sosial Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) di pulau tersebut.

Ketika itu penulis terlibat dengan kerja-kerja sukarela di bawah PBSMM di Marang Transit Kem, sebelum pelarian terbabit dihantar ke Sungai Besi untuk dihantar ke negara ketiga.

Pulau Bidong yang terletak di bahagian timur laut Terengganu dengan keluasan 203 hektar persegi itu sebenarnya penah dianggap sebagai ‘pulau rahmat’ oleh bekas pelarian perang Vietnam yang menjadi penghuni di situ.

Malah, Pulau Bidong juga yang pernah menjadi pusat penempatan sementara kepada 254,534 orang pelarian Vietnam mulai tahun 1978 hingga 1991 mempunyai nostalgia tersendiri kepada golongan berkenaan.

Selain itu, bekas pelarian Vietnàm yang dahulunya pernah dipanggil sebagai Pendatang Haram Vietnam (PHV) dan juga Orang Hanyut Vietnam (OHV), seolah-olah menjadikan pulau tersebut sebagai negeri kedua mereka.

Kebanyakan mereka cukup seronok berada di pulau ini sehinggakan terlupa segala penderitaan yang sedang dialami termasuk kejadian diserbu dan dirompak oleh lanun ketika berada di lautan.

Setiap pelarian yang pernah menjadi penghuni sementara di pulau yang turut dikenali sebagai ‘Pulau Tikus’ ini tidak pernah melupakan kenangan manis sepanjang berada di pulau ini.

Ini kerana, sebaik sahaja berjaya mendarat di pulau yang pernah diberi julukan ‘Mini Saigon’ itu, mereka sudah mampu menarik nafas lega.

Ya, kita sudah tiba di Pulau Bidong, inilah ‘Mini Saigon’, kita sudah selamat!, kehidupan kita akan berubah, cerita Minh kepada kawan penulis.

Pulau Bidong ketika itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas umpama sebuah bandar di tengah laut.

Selain kemudahan elektrik dan air, ia turut dilengkapi sebuah sekolah, pejabat pos, empat buah kuil, gereja, perpustakaan, klinik, dewan wanita, bengkel pertukangan, gelanggang sukan, mini bar dan bangunan Pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelarian (UNCHR).

Berdasarkan itulah mengapa kebanyakan pelarian yang tinggal di pulau ini tidak pernah melupakan kenangan manis sepanjang berada di Pulau Bidong berbanding bandar kelahiran mereka sendiri, iaitu Ho Chi Minh.

Selepas pusat penempatan sementara pelarian ini ditutup, lokasi yang terbiar itu kelihatan dinaiki semak samun di samping beberapa serpihan bangunan terbiar.

Yang tinggal hanyalah kenangan dan kesan peninggalan sejarah seperti monumen mercu tanda, tugu peringatan, perkuburan dan rumah-rumah ibadat.

Sesekali lokasi ini turut dikunjungi oleh bekas-bekas pelarian Vietnam yang pernah menghuni di pulau berkenaan.

Pulau Bidong diserahkan semula kepada kerajaan negeri Terengganu pada 30 November 1991 selepas ia dikosongkan oleh kumpulan terakhir seramai 52 orang pelarian Vietnam termasuk empat perempuan dan seorang kanak-kanak pada 21 Januari 1991.

Selain kesan sejarah dan keindahan alam semulajadi, Pulau Bidong kini menjadi lokasi penyelidikan marin Universiti Maysia Terengganu (UMT) dan juga lokasi bagi aktiviti marin dan coral melibatkan dasar laut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *