BEKAS Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak meluahkan rasa kesal kerana membantu abangnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menunaikan cek untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang kemudiannya dikaitkan dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi memoirnya yang bertajuk ‘What’s in a name’, Nazir berkata, menjelang PRU-13, Najib mendekatinya untuk membantu menunaikan empat keping cek berjumlah RM25.7 juta untuk digunakan bagi berkempen.
Nazir berkata, beliau hanya membantu abangnya itu dan tiada sebab untuk mengesyaki wang itu datang daripada sumber penipuan di luar sumbangan kempen yang sah.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk memikirkan yang dana itu mungkin dipersoalkan asal usulnya.
“Sudah tentu dengan mengimbas semula (perkara ini) saya kesal kerana bersetuju untuk terlibat sama sekali,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Pada 2016, Wall Street Journal mendedahkan bahawa cek itu datang daripada akaun Najib di mana wang 1MDB yang didakwa diseleweng telah disalurkan.
Nazir menambah, pendedahan itu mengecewakannya dan mendorongnya mengambil cuti sebagai Pengerusi CIMB bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan.
CIMB kemudian mendapati bahawa Nazir tidak menyalahgunakan kedudukannya dalam mengeluarkan cek berkenaan.
Nazir, yang lantang bersuara mengenai 1MD, berkata dalam memoirnya bahawa beliau memberi amaran kepada Najib beberapa kali antara 2009 dan 2013 mengenai dana kekayaan negara itu, dan menyatakan kebimbangan bahawa dana itu sedang diselewengkan.
Beliau berkata, isu 1MDB menjadi detik menyakitkan dan merenggangkan hubungannya dengan abangnya itu.
“Selepas beberapa ketika 1MDB hampir menjadi subjek tabu bagi kami.
“Saya tidak dapat menghubunginya, dan beberapa kali dia juga menyindir bahawa saya cemburu atau hanya tidak suka Jho (Low) secara peribadi,” katanya.
Jho Low, yang kini menjadi buruan, adalah individu kepercayaan rapat Najib yang memainkan peranan penting dalam menyelewengkan dana 1MDB.
Nazir memperincikan dalam memoirnya bahawa kegelisahannya dalam isu 1MDB menyebabkan beliau bekerjasama dengan pihak lain seperti bos The Edge, Tong Kooi Ong untuk menyiasat dana itu, malah menghubungi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan bantuan pada 2015.
Langkahnya itu juga menyebabkan kakak iparnya, Rosmah Mansor menentangnya, dakwanya.
Beliau mendakwa, semasa majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan bertarikh 15 Julai 2015 di rumah Najib, Rosmah dengan lantang memberitahu suaminya itu supaya tidak bercakap dengannya.
“Bagi Rosmah hidup sangat mudah; kamu sama ada bersama mereka atau menentang mereka. Tidak ada jalan tengah.
“Di majlis Ramadan itu dia memegang tangan Najib dan memandang tepat ke arah saya dan berkata dengan kuat: ‘Jangan cakap dengan dia! Dia kerja menentang kamu dan cuba jatuhkan kamu’,” katanya.
Nazir berkata, Najib cuba menenangkan Rosmah ketika itu tetapi tidak berjaya.
“Dia menambah, dengan kata-kata yang berbisa: ‘Saya tahu apa yang kamu lakukan. Saya ada mata. Lebih baik kamu berhati-hati,” tulis Nazir.
Nazir berkata, kakak iparnya itu tidak salah sepenuhnya, tetapi beliau berhasrat menyelesaikan skandal 1MDB dan bukan untuk menyakiti Najib.
Leave a Reply