CUBAAN membawa masuk 50 kotak mengandungi ubat gigi tidak sah bernilai RM35,000 dalam sebuah kontena dari China di Pelabuhan Klang, Klang, berjaya dipatahkan dalam satu pemeriksaan, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan wujudnya perlakuan pelanggaran cap dagang bagi sebuah cap dagangan/jenama popular item ubat gigi.
“Susulan aduan tersebut, satu tindakan serbuan secara kerjasama strategik telah dilaksanakan antara KPDNHEP Shah Alam, Selangor dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memeriksa sebuah kontena dipercayai dari Pelabuhan Ningbo, China.
“Kontena tersebut didapati dimuatkan sejumlah barangan yang disyaki melakukan pelanggaran cap dagangan terlibat.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 kotak yang mengandungi 72 unit ubat gigi dengan jenama terlibat dan berada dalam kontena yang diperiksa dalam serbuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, jenama itu disyaki menyerupai atau hampir serupa dengan satu cap dagangan berdaftar/sah yang dimiliki oleh sebuah syarikat terkenal serta disyaki kemungkinan berlaku kesilapan ejaan melibatkan cap dagangan asal (berdaftar/sah) tersebut.
Menurut beliau, kesemua barangan jenis ubat gigi jenama tersebut telah disita untuk siasatan lanjut oleh pihak KPDNHEP Shah Alam di bawah peruntukan Seksyen 99 (1) Akta Cap Dagangan 2019.
“Mana-mana individu atau pihak diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal terutamanya melibatkan kualiti dan keselamatan pengguna,” jelasnya.
Leave a Reply