KESEMUA 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani dokumen aku janji malam ini, sebagai komitmen memerangi rasuah.
Kesemua calon berkenaan hadir di Bilik Gerakan Utama PN di Tanjung Minyak, di sini dan majlis menandatangani aku janji yang bermula pada pukul 9 malam itu, disaksikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Antara inti pati yang terkandung dalam borang ‘Aku Janji Calon Pilihan Raya Negeri’ yang ditandatangani calon itu ialah, calon perlu memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dilaksanakan secara bersih, adil dan bebas rasuah sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu, calon juga harus mematuhi sepenuhnya undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan undang-undang berkaitan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.
Selesai menandatangani dokumen itu, kesemua 28 calon melafazkan ikrar aku janji berkenaan dan borang kemudian diserahkan kepada Muhyiddin oleh Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Sementara itu, kawasan bangunan berkenaan dikawal ketat anggota polis dan penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM), manakala pihak media kecuali jurugambar tidak dibenarkan memasuki bangunan.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata aku janji itu selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah, serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.
PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 Nov ini dan daripada jumlah berkenaan, Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS (lapan) dan Gerakan (lima). – BERNAMA
Leave a Reply