calon Ketua Menteri Mas Ermieyati

Menangkan PN dulu, soal calon Ketua Menteri fikir kemudian

prn melaka mohd muhammad

SOAL siapa yang bakal menjadi calon Ketua Menteri Melaka apabila Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah perkara nombor dua bagi Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Keutamaan calon PN bagi DUN Tanjung Bidara itu adalah untuk menghadiahkan kemenangan di kerusi berkenaan kepada parti.

Seperti dilaporkan oleh Malaysia Now, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kemenangan PN pada PRN Melaka bakal membuka jalan untuk gabungan parti-parti politik itu mentadbir semula negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebenarnya tiada keperluan untuk saya bertanding pada PRN sebab saya sudah pun menjadi ahli Parlimen dan timbalan menteri.

“Tetapi saya hendak sumbangkan kerusi untuk PN. Saya rasa PRN kali ini cukup penting kerana dia memberikan satu simbol untuk PRU-15 nanti.

“Tugas saya hanya untuk menangkan kerusi Tanjung Bidara, itu hasrat dan amanah oleh pucuk pimpinan parti,” jelasnya.

Desas-desus tentang kemungkinan Mas Ermieyati dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka mewakili PN timbul setelah beliau diletakkan bertanding di kerusi yang sama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf disebut sebagai salah seorang calon Ketua Menteri mewakili Barisan Nasional (BN).

Sekiranya desas-desus itu menjadi kenyataan, Mas Ermieyati bakal mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang menjadi Ketua Menteri di Malaysia.

Pada masa yang sama, Mas Ermieyati yang telah menabur bakti selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah yakin pengundi-pengundi Melayu di Melaka akan beralih menyokong PN kali ini.

“Pertamanya jenama PN itu sendiri, imej yang ditonjolkan Pengerusi PN yang juga mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Semasa pandemik melanda beliau fokus membantu rakyat.

“Begitu juga dengan imej integriti dan bersih yang ditonjolkan beliau akan memberikan ‘wow factor’,” katanya.

Beliau ingin menumpukan untuk memajukan lagi kegiatan pelancongan di Tanjung Bidara supaya hasilnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat.

“Tanjung Bidara cukup berpotensi. Orang ramai boleh mandi di sepanjang pantai, tidak seperti pantai Klebang atau Jasin. Ekonomi cukup penting selepas dua tahun pandemik, orang hilang kerja, terpaksa jual rumah,” ujarnya.

Mas Ermieyati juga mahu memikirkan bagaimana mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang kini berdepan cabaran kekurangan hasil tangkapan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *