Contohilah bukan perlekeh ketaatan ahli Pas

SEJAK dulu lagi, satu perkara yang menarik perhatian penulis terhadap Pas ialah waala’ dan taat ahli-ahlinya kepada pemimpin mereka.

Biar sehebat manapun perasaan tidak puashati mereka terhadap pendirian parti tetapi apabila kepemimpinan sudah membuat keputusan, maka mereka akan akur. Tidak ada sabotaj dan tidak ada yang mahu memaki hamun pemimpin sendiri.

Waala’ dan patuh inilah yang meletakkan Pas pada kedudukan sekarang. Parti itu kini berada bersama dalam Kerajaan Pusat dan memerintah di tiga buah negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ketaatan dan kepatuhan ahli-ahli Pas kepada kepemimpinan parti inilah tidak ada kepada parti-parti lain. Justeru penulis tidak hairan apabila ada pemimpin yang sudah tidak ada kaitan sama sekali dengan Pas tiba-tiba melompat apabila melihat keputusan ahli-ahli Pas dalam pemilihan parti pada Sabtu lalu.

Penulis faham, ramai musuh Pas mengharapkan isu kerjasama dengan Perikatan Nasional  dan Muafakat Nasional akan memecah belahkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Mereka tahu dalam Pas terbahagi kepada dua kelompok iaitu satu kelompok ingin bersama Perikatan Nasional dan satu kelompok mahu Muafakat Nasional. Ia bukanlah rahsia lagi, siapa pemimpin terlibat dalam percaturan itupun ramai tahu.

Ia boleh dipastikan melalui kenyataan-kenyataan mereka.

Bagaimanapun apabila kepemimpinan Pas pusat memutuskan untuk menggunakan simbol Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kesemua pemimpin dan ahli parti itu patuh.

Arus penolakan yang pada awalnya dilihat menghala kepada kelompok pro Perikatan Nasional berubah saat-saat akhir sehingga menjadi ‘bencana politik’ kepada kelompok ‘mesra Muafakat Nasional’.

Sebab itulah, ada pemimpin di luar Pas tidak puas hati. Mereka berharap yang akan ditolak ialah kumpulan pro Perikatan Nasional bagi membolehkan mereka memperlekehkan kepemimpinan Abdu Hadi habis-habisan.
Pemimpin dan ahli Pas tidak sebodoh itu. Mereka telah ditarbiah sejak awal lagi supaya taat dan patuh kepada keputusan parti. Mereka boleh memberi pandangan, mereka boleh melontar kritikan tetapi apabila parti sudah membuat keputusan maka semua harus menghormatinya.

Dan inilah yang berlaku apabila kepemimpinan membuat keputusan menggunakan simbol Perikatan Nasional. Pendirian yang diumumkan oleh Abdul Hadi itu dilihat sebagai isyarat untuk menolak Muafakat Nasional.

Adakah keputusan kepemimpinan Pas itu salah? Sudah tentu tidak kerana pertamanya, Pas bukan sahaja anggota rasmi Perikatan Nasional tetapi hakikatnya mereka jauh dihormati dalam kerjasama dengan gabungan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Bekas Perdana Menteri itu cukup menghormati Pas atas sebab itulah segala perundingan tidak mencetuskan apa masalah. Kalaupun ada masalah,  tidak ada mana-mana pemimpin parti Bersatu mahupun Perikatan Nasional membuat kenyataan yang boleh menggores perasaan pemimpin dan ahli Pas.

Ini berbeza dalam kerjasama dengan Muafakat Nasional. Segelintir pemimpin UMNO tidak pandai menjaga hati Pas. Merek membuat kenyataan sesuka hati. Pas dilayang bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.

Apa sahaja rundingan, mereka sahaja mahu menang atau mahu lebih, Pas dipaksa untuk akur dengan sebarang keputusan. Itu belum lagi mengambil kira sindiran yang dibuat oleh pemimpin UMNO bertaraf ‘ batu api’.

Keadaan inilah yang menyebabkan Pas kecewa.  Itulah yang berlaku dalam rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka. Pas hanya diberikan tiga kerusi oleh UMNO berbanding lapan kerusi yang diberikan oleh Perikatan Nasional.

Penulis difahamkan, Pas ditawarkan lebih daripada jumlah itu tetapi Pas menolak kerana memahami kemampuannya di Melaka.

Tetapi dalam rundingan dengan UMNO, Pas tidak dilayan sedemikian, seperti biasa UMNO mengekalkan perangai lamanya tetap mahu menjadi dominan atau ‘abang besar’.

Kepemimpinan Pas membuat keputusan bersama Perikatan Nasional dalam PRN Melaka kerana tidak mahu maruah parti itu diperkotak-katikkan. Kalau Pas tunduk dengan apa sahaja kehendak UMNO sudah pasti selepas ini perkara yang sama akan berulang apabila berhadapan PRU-15.

Kepemimpinan Pas mahu memberi isyarat kepada UMNO, Pas bukanlah parti picisan. Memang benar Pas tidak mempunyai pengaruh besar di Melaka tetapi Pas boleh menjadi faktor penentu kemenangan kepada kawasan yang menyaksikan pertarungan tiga penjuru.

Pemimpin UMNO sedar keadaan ini tetapi ‘keangkuhan’ menyebabkan mereka sengaja melupakan fakta berkenaan. Dan yang peliknya apabila Pas sudah membuat keputusan ada pula pemimpin UMNO yang kecewa sehingga membuat kenyataan ‘’laungan mereka (Pas) mahu menyatukan ummah hanya sekadar ‘halwa telinga’.

Betulkah begitu? Kenapa pemimpin tersebut tidak mempersoalkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang awal-awal lagi bertanya ‘’adakah lagi Muafakat Nasional ini’’. Kenapakah pemimpin itu tidak mempersoalkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang menolak sebarang usaha menyatukan ummah apabila melibatkan parti Bersatu?

Kenapakah pemimpin itu tidak bertanya kepada Ahmad Zahid, jika dengan DAP boleh berunding pada saat-saat akhir bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri Melaka, kenapa susah sangat UMNO mahu berbaik-baik dengan Bersatu demi perpaduan ummah yang diusahakan oleh Pas?

Sebenarnya, segelintir pemimpin UMNO amat memahami kesannya apabila Pas membuat keputusan bersama Perikatan Nasional di Melaka. Ia kerana pendirian itu sebagai isyarat kepada pengundi Pas dan penyokong parti itu untuk menyokong calon-calon Perikatan Nasional dalam pilihan raya berkenaan dan sekaligus akan memungkinkan UMNO kehilangan undi.

Seperti mana seorang pemerhati politik kepada penulis, ‘’Inilah keunikan dan keistimewaan Pas, ahli-ahlinya taat dan patuh kepada keputusan pimpinan.

Kalau nak beri sokongan, mereka akan beri ‘seketul’ bukan ‘terpecah-pecah’. Sikap ini tidak ada dalam parti lain terutamanya UMNO yang cukup popular dengan politik ‘cah keting’.’’

Kesimpulannya, usahlah mempersoalkan apatah lagi memperlekehkan sikap taat dan patuh ahli-ahli Pas terhadap kepemimpinan mereka sebaliknya contohilah sikap tersebut.

Percayalah, ahli-ahli Pas tidak akan tergugat dengan kritikan dan kecaman berikutan apa yang berlaku dalam pemilihan parti itu mahupun pendirian bersama Perikatan Nasional kerana mereka ditarbiah untuk menghormati kepemimpinan parti. Bukannya seperti ‘satu parti Melayu’ itu, mendabik dada mempunyai ahli berjuta tetapi bila pilihan raya hilang kuasa jugak!


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *