Oleh RIZQI ZABIDI
Tidak setakat bergelar al-Hafiz dengan pegangan agama yang mantap, malah lepasan tiga sekolah di bawah kelolaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada satu hari nanti dihasratkan untuk turut memiliki ilmu-ilmu menyelamat dan berdepan kecemasan bagi membantu golongan memerlukan.
Itu antara impian direncana Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) apabila menjalin kerjasama bersama APM bagi mewujudkan Sekolah Watak Zakat Kedah, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) pertama di negara ini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, melalui kerjasama itu sebanyak tiga buah sekolah dibangunkan LZNK akan diuruskan secara separa ‘regimental’ oleh Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah (LEPSAZ) dan APM.
Kerjasama itu katanya, bagi memastikan kalangan pelajar di ketiga-tiga sekolah tersebut diterapkan dengan nilai agama serta disiplin tinggi sepanjang tempoh pengajian, selain memiliki kemahiran tambahan terutamanya berkaitan ilmu-ilmu menyelamat dan kecemasan.
“Tiga sekolah terlibat adalah Sekolah Ulul Albab Zakat Kedah dan Sekolah Keusahawanan Zakat Kedah yang kedua-duanya dikenali sebagai Kolej Agama Sultan Abdul Halim di Alor Setar serta Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Sik.
“Konsepnya ala-ala Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan para guru juga tidak lagi dipanggil sebagai cikgu sebaliknya bergelar ‘tuan’ atau ‘puan’ mengikut pangkat APM. Guru-guru ini akan dilatih supaya mereka pada satu masa nanti akan pula bergelar jurulatih untuk memberi didikan kepada pelajar dalam ilmu pertahanan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab melancarkan Sekolah Watak Kedah Zakat Kedah, Kaspa di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kesemua mereka yang belajar di ketiga-tiga sekolah itu hadir daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Selain ilmu kurikulum, mereka yang belajar di kolej ini terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima, turut belajar menjadi ‘huffaz’.
“Apabila mereka dididik pula dengan ilmu dan silibus pertahanan awam oleh APM, perkara itu akan menjadi nilai tambah buat kehidupan anak-anak ini,” katanya.
Dalam pada itu Roslan memaklumkan, latihan kepada para guru dan pelajar di sekolah tersebut akan dikendalikan oleh APM Kedah terutamanya di daerah berdekatan.
“Mungkin buat masa sekarang mereka tidak boleh lagi menyertai misi-misi menyelamat yang berbahaya tetapi pada masa akan datang kita boleh libatkan mereka dengan misi-misi kemanusiaan bergantung kepada masa dan operasi sesuai.
“Di kolej ini, kesemua pelajar akan bergelar ‘Hafiz’ dan apabila mereka mampu menjalankan tugas-tugas menyelamat selain mengendalikan kes-kes kecemasan, sudah tentu masyarakat akan lebih memandang tinggi terhadap mereka dan APM. Secara keseluruhannya saya amat berbangga dengan usaha dijalankan ini,” katanya.
Leave a Reply