Kepala air

Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

Oleh RIZQI ZABIDI

PENGUNJUNG yang berkelah di Hutan Lipur Bukit Wang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini dikejutkan dengan kejadian kepala air yang berlaku kira-kira pukul 6 petang tadi.

Selain mengakibatkan beberapa kampung terdekat mengalami banjir kilat, kejadian itu turut menyebabkan dua remaja lelaki terkandas hingga terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi, terdapat sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas akibat kejadian tersebut.

“Kejadian kepala air itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat selama beberapa jam petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Klip video mengenai kejadian itu yang dirakam beberapa pengunjung turut tular dalam media sosial, malam ini.

Sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.09 petang tadi menyatakan terdapat lapan individu termasuk warga emas dan kanak-kanak terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Padang Panjang.

“Setibanya di lokasi, terdapat tiga rumah yang dinaiki air setinggi hampir 1.5 meter. Kesemua mereka yang berusia antara 4 hingga 74 tahun kemudiannya berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.

Tambahnya, pihak bomba turut melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa tertinggal dengan operasi tamat sepenuhnya pada 7.30 petang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *